Monday 4 April 2016

Pengertian "Isnad Hadis ini Hasan" atau "Isnad Hadis ini Sahih"

     Antara perkara yang selalu orang orang awam,ustaz atau lain-lain terlepas pandang dalam memahami hukuman seorang muhaddis terhadap sesuatu hadis adalah apabila seseorang muhaddis menyebutkan:

"إسناده صحيح"

     Maksudnya:Isnad hadis ini sahih.

Ramai orang terkadang itu menyangka bahawa Muhaddis yang menyebutkan hal ini menyatakan bahawa hadis ini sahih...

     Hakikatnya bukanlah begitu,Muhaddis tersebut hanya menyatakan kesahihan ke atas sanad hadis tersebut sahaja,belum lagi menghukumkan kesahihan ke atas keseluruhan hadis yang melibatkan  sanad dan matan sekaligus.

     Hal ini telah disebutkan para ulama muhaddisin sekian lama,antara Ulama yang menyebutkan hal ini ialah Al Imam Ibnu Solah di dalam Muqaddimah Fi 'Ulum Al Hadis:

 قولهم "هذا حديث صحيح الإسناد أو حسن الإسناد" دون قولهم "هذا حديث صحيح أو حديث حسن" لأنه قد يقال هذا حديث صحيح الإسناد ولا يصح لكونه شاذا أو معللا

Maksudnya:

"Kata mereka (para muhaddis) "hadis ini sahih isnadnya atau hadis ini hasan isnadnya" tidak sama dengan perkataan mereka (para muhaddis) "hadis ini sahih atau hadis ini hasan",hal ini kerana kadangkala dikatakan "hadis ini sahih isnadnya akan tetapi hadis itu tidak sahih kerana berlaku syaz ataupun mu'alal".(Hal 23)

     Begitu juga kata Al Imam Ibnu Kathir di dalam Ikhtisar Ulum Al Hadis:

 الحكم بالصحة أو الحسن على الإسناد لا يلزم منه الحكم بذلك على المتن إذ قد يكون شاذا أو معللا

Maksudnya:

"Hukum Sahih atau Hasan ke atas sesuatu sanad tidak semestinya menunjukkan hukum yang sama ke atas matan ketikamana ia menjadi syaz atau mu'alal".(Hal 43)

     Hal ini akan lebih jelas jika kita merujuk kembali kepada ta'rif asal hadis sahih,antaranya adalah seperti apa yang disebutkan di dalam Manzhumah Al Baiquniah:

الصحيح وهو ما اتصل إسناده ولم يشذ أو يعل يرويه عدل ضابط عن مثله معتمد في ضبطه ونقله

Maksudnya:

"Sahih adalah apa yang sanadnya bersambung,tidak diberlaku syaz dan 'illah,meriwayatkannya orang yang adil serta dhabit,boleh dipegangi pada kedhabitannya dan naqalannya".

     Jadi apa yang jelas,dan bahkan sepakat ulama hadis dalam mana-mana kitab musotlah sekalipun bahawa Hadis Sahih adalah perlu mencukupi syarat-syarat ini:

1.Diriwayatkan oleh rawi yang adil.
2.Diriwayatkan oleh rawi yang dhabit.
3.Sanad bersambung.
4.Tiada syaz.
5.Tiada 'illah.

     Adapun sekiranya kurang salah satu,maka akan memerlukan perincian lain dan perbahasan mengenainya akan jadi sangat panjang dan menarik.

     Indahnya ilmu hadis,walaupun hanya benda yang kecil pada mata orang awam,tetapi ada perbahasan yang mendalam di sisi para ulama.

     Oleh itu,kita perlu berhati-hati dalam memahami kalam para ulama,tidak kira apa bidang sekali pun...

Wallahu a'lam.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...