Friday 8 April 2016

Bukanlah "Al Hafiz" sebenarnya yang menjadi penilaian...

     Sebenarnya saya tidaklah berapa berminat  berkongsi pandangan peribadi saya kepada umum kerana saya yakin bahawa saya hanyalah orang biasa,bukanlah seorang yang alim,cerdik mahupun rasikh ataupun mutamakkin dalam satu-satu jenis ilmu.Tidaklah saya ini melainkan seorang penuntut ilmu biasa sahaja yang berkehendakkan kepada kebenaran dan keadilan dalam ilmu baik penilaiannya serta pengamalannya.

     Namun saya juga yakin,bahawa kebenaran bukanlah hanya berpihak kepada satu-satu jenis kelompok,tidak bermakna apabila anda memakai cop "aswaja" mahupun "salafi" sudah pasti anda sahajalah yang benar,dan setiap kebenaran itu diukur melalui "hujah" yang dikemukakan.

    Oleh kerana itu,saya rasakan isu ini perlu dinilai secara ilmiah dan adil di atas kerangka penghujahan yang jujur.
Ramai orang yang menisbahkan diri mereka kepada "aswaja" selalu mendakwa bahawa mereka tidak mahu menerima tashih/tadh'if/tahqiq/takhrij dan lain-lain usaha Sheikh Muhammad Nasiruddin Al Albani kerana berhujahkan bahawa Sheikh Al Albani bukanlah seorang Al Hafiz dalam bidang hadis.

    Sebenarnya hujah seperti ini kelihatan seperti tidak adil dan pelik pada penilaian saya yang dha'if ini.

     Kita tidak memburukkan mereka yang berkata seperti ini,kita hormat mereka kerana paling kurang,mereka berfikir juga apa sebab perlu menolak Al Albani daripada terus menolak membuta tuli walaupun hujah mereka ini seakan-akan menunjuk kejahilan dalam penialain ataupun mungkin kerana setakat penialain mereka dengan ilmu ada,maka begitulah pendapat mereka.Namun untuk bersetuju dengan hujah yang janggal dan lemah longlai ini,tidaklah dapat saya terima.

    Hal ini kerana saya memandang daripada beberapa sudut dan perspektif yang jika diambil kira,akan terus rapuh hujah berkenaan "Al Hafiz" ini.Perlu diingatkan bahawa apa yang kita sentuh kali di sini hanyalah sekadar ingin menjawab sedikit kekeliruan tentang hujah mereka yang terus menolak penilaian Sheikh Al Albani hanya dengan alasan bahawa Sheikh bukanlah seorang Muhaddis yang Al Hafiz.

1.Pertama,pendefinisian "Al Hafiz".

    Saya ingin mengajak kepada para pembaca dan pengkaji supaya menilai dengan adil dan saksama,adakah di sana terdapat satu kesepakatan para ulama dalam menentukan definisi bagi gelaran Al Hafiz ini?

    Dalam hal ini lebih molek jika saya bawakan sendiri qaul daripada ulama yang disanjungi dan dijulang tinggi juga oleh pihak yang suka menisbahkan diri mereka kepada "aswaja" iaitu Sheikh Abdul Fattah Abu Ghuddah.Dan,kalau hendak melihat secara penuh,bolehlah lihat di "PEMIKIRAN DAN KRITIKAN SYEIKH ‘ABD AL-FATTAH ABU GHUDDAH DALAM BEBERAPA ISU ‘ULUM AL-HADITH" yang ditulis oleh Ustaz Mohd. Khafidz Soroni (Seorang Ustaz yang sering menjadi rujukan pihak "ASWAJA" sendiri) pada halaman 57-59.

Disebutkan di dalamnya:

"(c) Koreksi terhadap pemakaian istilah al-Hafiz, al-Hujjah dan al-Hakim

Syeikh ‘Abd al-Fattah secara tegas mengkritik ramai ulama mutaakhirin yang mendefinisikan gelaran al-Hafiz, al-Hujjah dan al￾Hakim sebagai mereka yang menghafaz sekian sekian banyak jumlah hadith. Sebagai contohnya, Syeikh ‘Ali al-Qari menyebut di dalam Syarh al-Syama’il al-Muhammadiyyah:

“Al-Hafiz menurut istilah ahli hadith ialah orang yang mencakupi ilmunya dengan bilangan 100,000 hadith dari segi matan dan sanad..., al-Hujjah ialah orang yang mencakupi ilmunya dengan bilangan 300,000 hadith dari segi matan dan sanad serta hal ehwal para perawinya dari segi al-jarh wa al-ta‘dil dan sejarah
mereka, dan al-Hakim ialah orang yang mencakupi ilmunya dengan kesemua bilangan hadith yang diriwayatkan...”.

Menurut beliau, definisi-definisi gelaran tersebut sebenarnya tidak tepat sama sekali dari segi realiti dan praktis ulama hadith terdahulu. Misalnya, al-Hafiz al-Dhahabi telah menghimpunkan mereka yang digelar sebagai al-Hafiz di dalam kitabnya Tadhkirah al-Huffaz, dan didapati sangat ramai di antara mereka yang digelar al￾Hafiz, akan tetapi menghafaz tidak sampai pun 10,000 buah hadith.

Kemudian Syeikh ‘Abd al-Fattah membawakan banyak contoh, antaranya seperti yang disebut al-Dhahabi:

i. “Ayyub ibn Abi Tamimah al-Sakhtiyani, al-Imam Abu Bakr al-Basri, al-Hafiz, salah seorang tokoh besar. Kata Ibn al-Madini: Beliau mempunyai kira-kira 800 hadith”.

ii. “Sulayman al-Taymi, al-Hafiz al-Imam Syaykh al-Islam, Abu al-Mu‘tamir Sulayman ibn Tarkhan al-Qaysi mawlahum al-Basri. Saya katakan (al-Dhahabi): Beliau mempunyai kira-kira 200 hadith”.

iii. “Hariz ibn ‘Uthman, al-Hafiz Abu ‘Uthman al-Rahabi al￾Masyriqi al-Himsi, Muhaddith Hims, mempunyai kira-kira 200 hadith”, dan sebagainya.¹

Beliau juga menolak gelaran al-Hujjah dan al-Hakim sebagai gelaran bagi ahli hadith, kerana gelaran al-Hujjah adalah termasuk di antara lafaz-lafaz al-ta‘dil yang paling tinggi dan hanya dipakai dalam perbahasan al-jarh wa al-ta‘dil, manakala al-Hakim pula adalah gelaran di dalam bidang kehakiman dan tidak ada kaitan dengan disiplin hadith.

Justeru sebagai rumusannya, gelaran-gelaran yang betul dalam bidang periwayatan hadith ini menurut Syeikh ‘Abd al￾Fattah ialah bermula dengan gelaran al-Musnid, kemudian al￾Muhaddith, kemudian al-Mufid, setelah itu al-Hafiz, dan seterusnya Amir al-Mu’minin fi al-Hadith.²"

[Nota kaki]

(1)‘Abd al-Fattah Abu Ghuddah (1991), Umara’ al-Mu’minin fi al-Hadith,diterbitkan bersama: ‘Abd al-‘Azim ibn ‘Abd al-Qawiy al-Mundhiri (1991),Jawab al-Hafiz al-Mundhiri ‘an As’ilah fi al-Jarh wa al-Ta‘dil, Halab: Maktab al-Matbu‘at al-Islamiyyah, h. 126-136.

(2)Ibid., h. 126 & 132-133.

    Maka cukup dengan ini,secara ringkasnya saya harap jelas apa yang ingin saya maksudkan,bahkan hakikatnya ramai yang memaksudkan Al Hafiz itu sendiri tidak begitu faham dengan jelas apakah itu  Al Hafiz.hakikatnyaSekadar berbicara biasa,anak kecil pun mampu berceloteh.

2.Sekiranya Al Hafiz itu diterima sebagai ukuran dan syarat wajib bagi seorang Muhaddis untuk menghukum sesuatu status hadis....

    Maka,tolaklah penilaian:

-Sa'id Mamduh
-Yusri Jabir Al Hasani
-Usamah Al Azhari
-Hassan Saqqaf
-Sayid Muhammad Al Alawi Al Maliki
-Serta lain-lain orang yang dianggap sebagai Muhaddis di sisi aswaja.

Adakah mereka ini Al Hafiz?Bukankah mereka juga melakukan penilaian,pentashihan dan pentadh'ifan?

     Kerana apa apabila menolak penilaian Sheikh Al Albani,maka perkataan "dia bukan Al Hafiz" itu menjadi asbab utama penilainnya ditolak mentah-mentah?

     Tetapi apabila kembali kepada diri sendiri,tidak pula mahu dihukum dengan adil,sebab itu saya ingin katakan,"jangan berat sebelah dalam berhujah,kelak pekung sendiri terbuka".

     Mungkin ada yang ingin menjawab,"mereka menilai dengan penilaian Huffaz zaman dahulu".

     Hakikatnya mereka mula berpusing daripada hujah mereka yang awal,tidak mengapa,kita terima sahaja hujah mereka itu,dan sememangnya memang begitulah penilaian hadis dilakukan,namun penilaian mereka itu tidak adil dalam pertimbangan.

     Sememangnya para Pentahqiq/Muhaddis/dan lain-lain pengkaji yang melakukan penilaian,mereka secara dasarnya melakukan kajian sekadar yang mampu lalu memilih pendapat yang mereka sokong,benar atau salah ditimbang berdasarkan hujah/sebab/alasan,dan semua orang boleh diterima serta ditolak hujah mereka,juga dengan hujah,bukan dengan fitnah!

     Begitu jugalah Al Albani dengan kajiannya,beliau menghukum juga dengan menilai,salah dan silap tetap ada kerana beliau hanyalah insan biasa,bukan Nabi.

     Saya juga tidak bermaksud dengan tulisan ini untuk mmperlekeh atau merendah-rendahkan mana-mana tokoh,bahkan jika seorang Al Hafiz sekalipun yang melakukan penilaian maka penilaian itu tetap bukan bererti bahawa ia adalah muktamad dan tidak lagi salah,tetapi yang menyanggahnya juga perlulah ilmiah bukan sentimen buta-buta.Namun kita juga tahu dan yakin bahawa jika seorang Al Hafiz melakukan penilaian,maka ia adalah penilaian yang mahal.

     Sebagai tambahan,saya berasa tertarik untuk menambah apa yang pernah diceritakan oleh seorang pelajar bidang hadis di mesir (saya diamanahkan supaya tidak menyebutkan nama beliau,hafizahullah):

Al-Syeikh Dr Bassyar 'Awwad sebut minggu lepas apabila ada yang bertanya sebab beliau banyak berbeza pendapat dengan Syeikh al-Albani dalam penilaian hadith, al-Syeikh Bassyar 'Awwad* sebut maksudnya:

"Walaupun aku berbeza pendapat dengan beliau (al-Albani), namun, apabila aku menulis nama beliau dalam kitab-kitabku, setiap kali itu aku dahulukan dengan "al-'Allamah'" dan seumpamanya."

Beliau sebutkan masa talk di Institute of Arabic Manuscrip di Kaherah baru ni".(Saya salin semula daripada perbualan saya dengan beliau menerusi aplikasi whatsapp)

*Al Syeikh Dr. Basyar Awwad merupakan penulis kitab al-Musnad al-Mu'allal (41 jld) ,pentahqiq Sunan al-Tirmizi, Sunan Ibn Majjah, Tahzib al-Kamal al-Mizzi, dan lain-lain.

     Wallahu a'lam,sekadar ini dahulu,saya pasti bahawa ia cumalah tulisan ringkas,namun inilah antara aspek yang saya lihat,perlu diberikan perhatian semula,kita tidak memaksumkan Sheikh Al Albani,namun kita juga tidak menyokong kutukan,cercaan,penghinaan yang diberikan orang ke atasnya.Semoga Allah masukkan kita ke dalam golongan yang insaf dan adil ketika menilai.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...