Friday 8 April 2016

Satu Pesanan Kasih Sebelum Menuntut Ilmu...


     Ilmu merupakan mutiara bernilai yang harganya tidak mampu dibeli dengan wang ringgit,mendapatkannya merupakan satu kelebihan dan menguasainya merupakan satu anugerah tinggi yang ramai insan idamkan,dengannya manusia boleh menjadi hina jika tersilap jalan,dengannya juga manusia boleh menjadi mulia jika jalannya untuk Tuhan.

     Namun sebelum jauh berjalan,permulaan perlulah dibetulkan,mana mungkin kita sampai anak tangga ke sejuta jika tidak bermula dengan anak tangga pertama?

     Sekadar perkongsian,saya kira bahawa perkara di bawah ini sangat penting untuk kita berikan perhatian:-

-Ikhlaskan diri dalam menuntut ilmu.

Di dalam Al Hadis,Nabi S.A.W ada bersabda:

إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى دُنْيَا يُصِيبُهَا أَوْ إِلَى امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ

Maksudnya:

"Sesungguhnya setiap perbuatan tergantung niatnya, dan (balasan) bagi tiap-tiap orang (tergantung) apa yang diniatkan; Barangsiapa niat hijrahnya karena dunia yang ingin dicapainya atau karena seorang perempuan yang ingin dinikahinya, maka hijrahnya adalah kepada apa dia diniatkan.

(Riwayat Al Bukhari dan Muslim)

Di dalam hadis yang lain pula,ada juga Nabi Muhammad S.A.W bersabda:

َمن تعلمَ الْعِلْمَ لِيُبَاهِيَ بِهِ الْعُلَمَاءَ وَيُجَارِيَ بِهِ السُّفَهَاءَ وَيَصْرِفَ بِهِ وُجُوهَ النَّاسِ إِلَيْهِ أَدْخَلَهُ اللَّهُ جَهَنَّمَ

Maksudnya:

" Barangsiapa mempelajari ilmu untuk berdebat dengan para ulama, merendahkan orang-orang bodoh serta memalingkan perhatian manusia kepadanya, maka Allah akan memasukkannya ke dalam jahannam."(Riwayat Ibnu Majah dan dikatakan Hasan oleh Al albani dalam Sahih Ibnu Majah)

Ikhlas pada asalnya merupakan urusan hati yang mana kita jadikan tujuan kita dalam sesuatu perkara hanya demi Allah S.W.T.Ia mudah disebut atas lisan tetapi susah dalam amalan.Ikhlas dalam menuntut ilmu sangatlah penting supaya tidak mudah seseorang penuntut ilmu itu jatuh kecundang dari landasan yang asal.Ramai penuntut ilmu disebabkan tidak ikhlas,maka mereka tidak berjaya mencapai tahap yang sepatutnya kerana tergugat dan terhalang dek  segala rintangan yang ada.

Ada penuntut ilmu yang menuntut ilmu sekadar semata-mata ingin menjadi pendebat supaya dirinya dianggap sebagai seorang alim.Ada juga yang menuntut ilmu demi mencari harta kerana sangkanya itulah tujuan ilmu.Bahkan ada juga yang menuntut ilmu hanya kerana ingin menggapai cita-cita duniawi semata!

Ketahuilah bahawa barangsiapa yang menjadikan dunia itu sebagai tujuan utama maka rugilah mereka!

Nabi S.A.W bersabda:

مَن كانتِ الدُّنيا هَمَّهُ ، فرَّقَ اللَّهُ علَيهِ أمرَهُ ، وجعلَ فَقرَهُ بينَ عينيهِ ، ولم يأتِهِ منَ الدُّنيا إلَّا ما كتبَ لَهُ ، ومن كانتِ الآخرةُ نيَّتَهُ ، جمعَ اللَّهُ لَهُ أمرَهُ ، وجعلَ غِناهُ في قلبِهِ ، وأتتهُ الدُّنيا وَهيَ راغِمةٌ

Maksudnya:

"Barangsiapa menjadikan dunia sebagai cita-citanya, maka Allah akan mencerai-beraikan urusannya, dan Allah akan menjadikannya miskin. Tidaklah ia akan mendapatkan dunia kecuali apa yang telah di tetapkan baginya. Dan barangsiapa menjadikan akhirat sebagai tujuannya, maka Allah akan menghimpunkan urusannya dan membuatnya kaya dalam hatinya, serta ia akan di beri dunia dalam keadaan dunia itu hina".(Riwayat Ibnu Majah dan disahihkan oleh Al albani di dalam Sahih Ibnu Majah serta Al Wadi'i di dalam As Sahih Al Musnad)

Bagi yang hanya menurut ilmu demi menjadi pendebat yang hebat dalam perkara yang sia-sia sahaja,mereka tidak akan berjaya mencapai tahap yang baik dalam ilmu kerana mereka akan habiskan masa demi debat yang sia-sia dan hasilnya,tiada manfaat.

Mungkin mereka yang pernah merasainya mudah faham akan hal ini.Ada benarnya kata-kata:

من لم يذق لم يفهم

"Barangsiapa yang belum  belum faham".

Tidaklah semua jenis debat/diskusi itu sia-sia belaka,Islam tidaklah begitu,ada etikanya yang perlu dituruti.

Namun,apa yang kita katakan sia-sia itu adalah pada apa yang tiada manfaatnya,bagaimanakah agama mampu mengizinkan apa yang tidak mendatangkan manfaat?

Oleh itu,kita sebagai penuntut ilmu perlu berhati-hati ketika memasang niat.Disebabkan itu,para ulama sangat bersungguh-sungguh dalam mengingatkan kita terhadap perkara ini,bukan sedikit daripada para ulama yang telah memulakan kitab mereka dengan meletakkan hadis dan nasihat tentang niat pada awal kitab mereka.

Al Imam Al Bukhari dan Al Imam An Nawawi merupakan antara dua orang tokoh besar yang memulakan kitab susunan mereka dengan hadis:

إنما الأعمال بالنيات...

Bahkan di dalam Kitab Bughyah At Thullab karangan Syeikh Daud Al Fattani (seorang ulama nusantara) sendiri telah memuatkan hadis seperti:

من تعلم العلم ليباهي به العلماء...

pada muqaddimah kitabnya itu.

Oleh itu tuntutlah ilmu dengan niat yang benar.

Tanpa ikhlas,amalan mungkin boleh menjadi sia-sia kerana ia mungkin tidak termasuk ke dalam amalan soleh sedangkan barangsiapa yang tidak beramal soleh maka sia-sialah hidupnya,bukankah Allah telah berfirman?:

وَالْعَصْرِ (1) إِنَّ الْإِنْسَانَ لَفِي خُسْرٍ (2) إِلَّا الَّذِينَ آَمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ (3)

Maksudnya:


”Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan saling berpesan-pesan terhadap kebenaran dan saling menasihati supaya terhadap kesabaran”.(surah Al Asr)

Wallahu a'lam

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...