Tuesday 27 December 2016

Benarkah Kisah Ini?

Soalan:

Assalamualaikum Ustaz,


Hadisni sahih tak?

Pada suatu ketika, Rasulullah ﷺ bertanya kepada para sahabat; “Siapakah yang paling luar biasa imannya?”
Para sahabat menjawab; “Malaikat,Ya Rasulullah.”
Balas Rasulullah ﷺ; “Sudah tentulah Malaikat luar biasa imannya, kerana mereka sentiasa disisi ALLAH.”
Seketika terdiam para sahabat, menjawab lagi; “Para nabi, Ya Rasulullah.” Rasulullah ﷺ berkata; “Para nabi sudah tentu hebat imannya, kerana mereka menerima wahyu daripada ALLAH.”
Para sahabat mencuba lagi; “Kalau begitu kamilah yang paling beriman.” Jawab Rasulullah; “Aku berada di tengah tengah kalian, sudah tentulah kalian orang yang paling beriman.”
Lalu, salah seorang sahabat berkata; “Kalau begitu, ALLAH & Rasul-NYA sajalah yang mengetahui.”
Maka dengan nada perlahan, Rasulullah berkata; “Mereka adalah umat yang hidup selepas aku. Mereka membaca AlQuran & beriman dengan isinya. Orang yang beriman denganku & pernah bertemu denganku, adalah orang yang bahagia. Namun orang yang 7kali lebih bahagia adalah mereka yang tidak pernah bertemu aku tetapi beriman denganku.” Rasulullah diam seketika. Kemudian, Baginda ﷺ menyambung dengan suara yang lirih; “Sesungguhnya, aku rindukan mereka… “

Ya Rasulullah..kami amat merindukan dirimu..

۞اَللهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ۞

@▪فَاسْتَبِقُوا الْخَيْرَاتِ▪

Jawapan[1]:


Wa'alaikumussalam.

Hadith tersebut ada diriwayatkan oleh al-Baihaqi dalam Dalail al-Nubuwwah melalui dua hadith.

Hadith pertama, diriwayatkan oleh al-Baihaqi daripada Ahmad bin Abd al-Jabbar daripada Yunus bin Bukair daripada Malik bin Mighwal daripada Thalhah bin Abi Soleh daripada Rasulullah s.a.w. (Dalail al-Nubuwwah oleh al-Baihaqi, juz 6 m/s 538. Tahqiq oleh Dr 'Abd al-Mu'thi Qal'aji. Cetakan pertama, tahun 1408 H/1988 M. Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah, Beirut)

Hadith tersebut dihukum mursal oleh al-Baihaqi seusai menyebutkan hadith tersebut. Di samping itu, dalam sanadnya terdapat perawi bernama Ahmad bin 'Abd al-Jabbar al-'Utharidi. Beliau dinilai dhaif oleh beberapa kalangan ulama, antaranya Abu Hatim. (Lihat: Mizan al-I'tidal oleh al-Zahabi, juz 1 m/s 252, biografi no 442-443. Cetakan pertama, tahun 1416 H/1995 M. Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah, Beirut)

Al-Imam al-Nasaie berkata berkenaan beliau "kazzab (kaki dusta)", al-Imam Abu Zur'ah al-Razi berkata " Sudah berzaman aku tidak lihat munculnya di Mesir orang yang paling pendusta dalam hadith dan paling berani berbohong berbanding lelaki ini". (Al-Jami' Fi al-Jarh Wa al-Ta'dil oleh al-Syeikh al-Sayyid Abu al-Ma'athi al-Nuri dan rakan-rakan, jld 1 m/s 44-45, biografi no 168. Cetakan pertama, tahun 1412 H/1992 M. 'Alam al-Kutub, Beirut)

Hadith kedua pula, diriwayatkan oleh al-Baihaqi melalui jalur sanad Isma'il bin 'Ayyasy daripada al-Mughirah bin Qais daripada 'Amr bin Syu'aib daripada ayah beliau daripada datuk beliau daripada Rasulullah s.a.w.

Sanad hadith ini juga terlalu dhaif. Di dalam sanadnya terdapat perawi bernama al-Mughirah bin Qais. Al-Imam Ibn Hajar al-'Asqalani berkata:

"Al-Mughirah bin Qais al-Bashri, meriwayatkan hadith daripada 'Amr bin Syu'aib. Abu Hatim berkata: Munkar al-Hadith. Isma'il bin 'Ayyasy meriwayatkan daripasa beliau". (Lisan al-Mizan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani, juz 8 m/s 135, biografi no 7881. Tahqiq oleh al-Syeikh 'Abd al-Fattah Abu Ghuddah. Cetakan pertama, tahun 1423 H/2002 M. Dar al-Basyair al-Islamiyyah, Beirut)

Al-Hakim turut meriwayatkan dengan makna yang sama tapi lafaznya berbeza dalam al-Mustadrak beliau (juz 4 m/s 181-182, hadith no 7072. Cetakan pertama, tahun 1417 H/1997 M. Dar al-Haramain, Kaherah)

Sanadnya juga terlalu dhaif kerana di dalam sanadnya terdapat perawi bernama Muhammad bin Abi Humaid.

Al-Bukhari berkata berkenaan beliau " Munkar al-Hadith", di tempat lain al-Bukhari berkata "Beliau seorang yang dhaif lagi Zahib al-Hadith. Aku tidak meriwayatkan apa-apa pun daripada beliau", al-Nasaie berkata " Beliau tidak tsiqah", al-Bazzar berkata "Muhammad bin Abi Humaid, diriwayatkan daripada beliau hadith-hadith yang munkar". (Al-Jami' Fi al-Jarh Wa al-Ta'dil, jld 2 m/s 471-472, biografi no 3871)

Terdapat sanad-sanad lain yang kesemuanya adalah terlalu dhaif.

Di dalam hadith-hadith tersebut, tidak disebutkan berkenaan "7 kali bahagia". Berkenaan " 7 kali bahagia", ianya diriwayatkan melalui hadith yang lain.

Al-Syeikh Muqbil al-Wadie hafizhahullah pada awalnya memasukkannya dalam al-Jami' al-Shahih Mimma Laisa Fi al-Shahihain (juz 4 m/s 159, hadith no 2585. Cetakan keempat, tahun 1434 H/2013 M. Dar al-Atsar, Yaman)

Namun, di tarik balik penilaiannya oleh al-Syeikh Muqbil dan beliau memasukkannya ke dalam Ahadith Mu'allah (m/s 61, hadith no 49. Cetakan kedua, 1421 H/2000 M. Dar al-Atsar, Yaman)

Wallahua'lam.

__________________________________________________________________________________________

Nota Kaki:

[1] Jawapan oleh Ustaz Zulfadhli,saya bertanya kepada beliau melalui aplikasi "whatsapp".

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...