Tuesday 27 December 2016

Ini Riwayat Al-Bukhari & Muslim?

     Antara jenayah ilmiah dan dusta ke atas Nabi S.A.W yang perlu dielakkan,adalah,ramai orang selalu menyandarkan hadis yang entah dari mana datangnya kepada Al Bukhari dan Muslim,padahal ia langsung tidak terdapat di dalam kedua kitab kedua ulama tersebut,baik dalam Sahihain dan kitab-kitab mereka yang lain.

     Lebih sadis lagi,hadis yang disandarkan kepada kedua-dua orang ulama tersebut tidak juga diriwayatkan oleh para Imam yang lain.Ini merupakan satu kebohongan yang nyata dan perlu diberi peringatan.

     Apa yang lebih melucukan,orang yang mempertahankan perkara ini meskipun dengan terangnya ia salah biasanya berkata,"awak pakar hadis ke nak cek itu riwayat siapa dan ini duduk dalam riwayat mana?".

Begini saya katakan:

1. Masalah ini merupakan sebuah persoalan yang besar.Ia tidak boleh dipandang enteng kerana melibatkan isu ilmiah,malah yang lebih besarnya ialah isu pendustaan ke atas nama Nabi S.A.W di atas apa yang tidak benar daripada baginda.Demikian lagi perkara sebegini biasa berlaku terutamanya kepada orang awam tidak terkecuali juga ahli agama yang tidak berpengetahuan atau tersilap dalam hal ini.

2. Ia berlaku kadangkala bukan kerana niat yang buruk.Boleh jadi niatnya baik,itu tidak kita persoalkan dan nafikan.Cumanya yang menjadi masalah yang kita dakwakan sekarang ini adalah berkenaan penyandaran itu yang mana ia salah dalam urusan agama dan isu ilmiah sekaligus.

3. Urusan besar dalam agama yang disentuh dalam isu ini adalah pendustaan terhadap Rasulullah S.A.W manakala isu ilmiah yang saya katakan itu adalah pada penyandaran rujukan hadis.

     Pendustaan ke atas Nabi S.A.W adalah diharamkan sama sekali dalam agama ini.Hal ini pernah disabdakan oleh Nabi S.A.W sendiri dalam hadisnya:

لَا تَكْذِبُوا عَلَيَّ فَإِنَّهُ مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ فَلْيَلِجْ النَّارَ

Maksudnya:

"Janganlah kalian berdusta ke atasku,karena sesungguhnya barangsiapa berduasta ke atasku dia akan masuk neraka."[1]

Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-'Asqalani (w. 852H) ada menyebutkan dalam Fath Al-Bari:

قوله (لا تكذبوا علي) هو عام في كل كاذب مطلق في كل نوع من الكذب ومعناه لا تنسبوا الكذب إلي 

Maksudnya:

"Perkataan baginda:

لا تكذبوا علي

ertinya:

"janganlah kamu berdusta ke atasku"

adalah umum bagi setiap para pendusta,pada setiap jenis pendustaan dan maknanya adalah "janganlah kamu menisbahkan sesuatu pendustaan kepadaku".[2]

     Besar ancaman buat para pendusta atas nama baginda yang mulia itu.Lagikan pula,hadis baginda ataupun setiap yang datang daripada Rasulullah S.A.W menjadi dasar dalam agama Islam ini.

     Di dalam Al Quran sendiri disebutkan:

وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا ۚ وَاتَّقُوا اللَّـهَ  

Maksudnya:

"Dan apa yang dibawakan kepada kamu semua oleh Rasul maka ambil lah ia dan apa yang kamu semua dilarang olehnya maka berhentilah daripada melakukannya."[3]

     Jelas sungguh bahawa setiap tindak-tanduk perbuatan Nabi,suruhan dan larangannya menjadi pedoman dalam kehidupan muslim.Maka sekiranya sesuatu yang didustakan atas nama Rasulullah S.A.W diambil dan dijadikan pegangan dalam agama,adakah itu boleh dikira sebagai agama sebenar?

4. Manakala isu ilmiahnya pula boleh dilihat daripada sudut penyandaran hadis tersebut.Sebahagian orang dengan sewenang-wenangnya mengutip sesuatu hadis yang entah dari mana datangnya kemudian menyandarkan kepada nama para ulama yang terkenal dengan kejaguhannya dalam ilmu hadis.

5. Contohnya adalah seperti berikut:

"Barang Siapa yg Meniru, Mengucapkan Selamat kpd Agama Lain Bererti ia Telah Kafir & Neraka Janahamlah Tempatnya" (HR.Bukhari Muslim)

     Seperti inilah yang telah sampai kepada saya.Ia biasa disebarkan ketika berlakunya sambutan perayaan agama selain Islam seperti Kristian dan lain-lain.

6. Pertama,si penulis telah salah dalam menyandarkan riwayat tersebut.Kedua hadis dengan lafaz tersebut tidak wujud dan ini merupakan satu bentuk pendustaan yang dilakukan atas nama Rasulullah S.A.W.

     Hadis yang seperti ini tidak datang dengan lafaz begini.Ya,hadis yang lebih kurang sama memang ada namun bukan dalam bentuk seperti ini.Ia berbunyi:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Maksudnya:

"Barangsiapa yang menyerupai/meniru sesuatu kaum maka dia adalah termasuk dalam golongan mereka".[4]

     Hadis ini bukanlah riwayat Al Bukhari dan Muslim seperti yang didakwakan.Namun ia merupakan riwayat Ahmad pada Musnad Al-Muksirin Min Al-Sahabah dalam Musnad 'Abd Allah bin 'Umar bin Al-Khattab radhialalhu ta'ala 'anhuma dan Abu Daud dalam Kitab Al-Libas Bab Fi Lubs Al-Syuhrah.

     Penyalahsandaran seperti ini boleh memberi impak yang besar.Lagilah pula apabila nama ulama hadis yang besar,Al Bukhari dan Muslim digunakan.

     Maka jelas bahawa di sini terdapat kesalahan penyandaran kepada Rasul S.A.W dan juga kesalahan dalam menyandarkan kepada para ulama yang mengeluarkan hadis itu,ini merupakan kesalahan ilmiah.

7. Dalam hal ini ia juga rupakan isu amanah dan jujur dalam menaqalkan sesuatu,terutamanya isu hadis apabila menyandarkannya pada tempat yang salah,sepatutnya seorang yang mendakwa perlu membawakan dan menaqalkan dengan benar.Amanah itu tertanggung ke atas mereka yang mengeluarkan fakta.

     Tidak boleh seseorang terus bercerita tentang setiap apa yang didengarinya,paling kurang ia boleh merujuk kepada para alim yang benar dalam bidang yang betul,atau sekurang-kurangnya orang yang mampu menerangkan sekadar yang perlu.

     Bahkan,antara sifat pendusta adalah menyampaikan setiap apa yang didengari,di dalam Al-Hadis,Nabi S.A.W ada menyebutkan:

 كَفَى بِالْمَرْءِ كَذِبًا أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ

Maksudnya:

"Cukuplah seseorang itu dikira berdusta apabila dia menceritakan setiap apa yang dia dengar".[5]

Lagikan pula hadis ini diletakkan pada bab khusus oleh Al-Imam Al-Nawawi dengan tajuk:

 النهي عن الحديث بكل ما سمع

Maksudnya:

"Larangan terhadap menceritakan semua perkara yang didengari".[6]

     Hal ini kerana sesuatu fakta memerlukan penapisan yang teliti,agar ia tidak menjadi dusta,penyelewengan dan lain-lain.Kata Al-Syeikh Muhammad bin Soleh Al-'Uthaimin:

وأما قوله (ص): "كَفَى بِالْمَرْءِ كَذِبًا أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ" فمعناه أن يحدث بكل ما سمع من غير تثبت ولهذا قيل  : بكل ما سمع 

Maksudnya:

"Dan adapun perkataan baginda:

كفى بالمرء كذبا أن يحدث بكل ما سمع

ertinya:

"cukuplah seseorang itu dikira berdusta apabila dia menceritakan setiap apa yang dia dengar".

maka maknanya adalah dia menceritakan setiap apa yang didengarinya tanpa kepastian.Disebabkan ini disebutkan:

بكل ما سمع

ertinya;

"dengan setiap apa yang dia dengar".[7]

8. Apabila anda telah mengkhususkan sesuatu riwayat,maka sememangnya ia akan lebih memudahkan bagi orang untuk mengkaji dan memeriksa semula,adakah benar bahawa apa yang anda katakan itu,memang  ia dari situ.Maka tidak perlu hairan jika ada orang yang mampu menyanggah dan menegur anda,hal ini kerana yang demikian itu boleh disemak.

9. Apabila anda menyebutkan tentang hal adakah orang yang cuba menyemak semula pakar atau tidak,saya nyatakan bahawa jika perkara tersebut dikhususkan untuk saya,maka saya bukanlah pakar,namun sekadar merujuk kepada pakar ataupun menggunakan kaedah yang boleh diterima dalam soal semakan sebegini.

10. Jika anda katakan bahawa anda juga merujuk kepada pakar,maka kerana apa perlu disalahkan?

     Sebenarnya di situ terdapat sedikit kesilapan dalam penilaian,adakah apabila ada seorang pakar memberitahu anda maka ia sudah tidak boleh disanggah apabila dibawakan hujah yang lebih kuat dan kukuh?

     Pola fikir seperti ini perlu diperbetul,barulah akan lebih terbina budaya kritis dalam berfikir.Apa yang lebih malang dan menyedihkan adalah apabila para agamawan yang sepatutnya lebih menjaga amanah,turut terlibat sama,bukan sedikit orang yang memakai cop Al-Bukhari dan Muslim lalu dilekatkan pada hadis riwayat lain.Demikian,tidak juga sedikit mereka yang menyandarkan hadis pada riwayat Bukhari dan Muslim sedangkan hadis itu langsung tidak wujud,dikritik sanad dan matan,serta banyak lagi masalah lain!

     Kita pun sangat sedih dengan gejala seperti ini,mungkin sesetengah mereka rasa bahawa ia adalah bagus untuk menarik kepercayaan orang bahawa hujahnya kuat,kerana bersandarkan hadis yang sahih kerana ia merupakan riwayat Al-Bukhari dan Muslim,namun hakikatnya,mereka itu tersilap,bahkan boleh jatuh ke tahap pendusta!Bahkan,boleh menghilangkan kepercayaan orang kepada mereka!

     Sepatutnya orang yang ditegur, tidak boleh sombong untuk menarik kembali kenyataan mereka jika mereka ternyata salah,semoga pihak yang menegur dan ditegur sentiasa dipayungi rahmat dan diberikan berkat kerana menjaga amanah dalam soal hadis.

___________________________________________________________________________________

Rujukan:

[1] Riwayat Al-Bukhari dalam Kitab Al-'Ilm,Bab Ism Man Kazaba 'Ala Al-Nabi S.A.W dan juga Muslim dalam Muqaddimahnya dengan lafaz:

لا تكذبوا علي فإنه من يكذب علي يلج النار

Maksudnya:

"Janganlah kalian berdusta ke atasku,karena sesungguhnya barangsiapa berduasta ke atasku dia akan masuk neraka."

[2] Al-Imam Al-Hafiz Ahmad bin 'Ali bin Hajar Al-'Asqalani,Fath Al-Bari,tahqiq Muhib Al-Din Al-Khatib berserta ta'liq Al-Syeikh 'Abd Al-'Aziz bin 'Abd Allah bin Baz,terbitan Maktabah Al-Salafiah,hlm 199.

[3] Surah Al-Hasyr ayat 7.

[4] Riwayat Ahmad pada Musnad Al-Muksirin Min Al-Sahabah dalam Musnad 'Abd Allah bin 'Umar bin Al-Khattab radhiallhu ta'ala 'anhuma dan Abu Daud dalam Kitab Al-Libas Bab Fi Lubs Al-Syuhrah.

[5] Riwayat Muslim dalam Muqaddimahnya.

[6] Ini merupakan suatu bab yang telah diletakkan oleh Al-Imam Al-Nawawi dalam kitabnya yang mensyarahkan Sahih Muslim,"Al-Minhaj Fi Syarh Sahih Muslim bin Al-Hajaj".

[7] Al-Syeikh Al-'Allamah Muhammad bin Soleh Al-'Uthaimin,Syarh Sahih Muslim,ta'liq Al-A'Allamah Ibn Baz dan takhrij Al-'Allamah Al-Albani,terbitan Al-Maktabah Al-Islamiah,cetakan pertama,j. 1,hlm 31.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...