Saturday 24 December 2016

Hadis "Tidak akan masuk neraka orang yang melihat aku"?


Soalan:

Mohon pencerahan berkenaan hadis ini:

Rasulullah saw bersabda;

"Tidak akan masuk ke neraka orang (Islam) yang telah melihat aku (Nabi Muhammad) dan tidak juga akan masuk ke neraka orang yang melihat akan orang yang telah melihat aku dan tidak akan masuk ke neraka orang yang melihat akan orang melihat aku,iaitu walaupun (sampai) kepada tujuh puluh wasitah (lapisan/keturunan).Sesungguhnya mereka itu adalah para khalifahku di dalam menyampaikan (ajaran Islam) dan asuhan Islam,selagi mereka itu sentiasa istiqamah di dalam syari'atku".

Jawapan:

Terima kasih kepada anda kerana bertanya soalan ini.Ia menunjukkan keprihatinan anda terhadap penyandaran sesuatu hadis kepada Nabi Muhammad S.A.W.Lagikan pula kita sedang berada di zaman mudahnya tersebar sesuatu berita tidak kira sama ada palsu ataupun benar.Maka sikap seperti ini amatlah dipuji.

Bagi menjawab persoalan ini maka saya rumuskan seperti berikut:

Hadis ini palsu dan tiada asal baginya.

Pencerahannya begini:-

1. Hadis ini tidak ada asal baginya.

Hal ini kerana terdapat hadis yang seumpama ini telah dikatakan tiada asal oleh Samahah Al-Mufti As-Syeikh Bin Baz (w. 1420H).Hadisnya seperti berikut:

  من رآني حرمت عليه النار 

Maksudnya:

"Barangsiapa yang melihatku maka diharamkan ke atasnya api neraka".

Kata beliau rahimahullah:

  فهذا لا أصل له، وليس بصحيح

Maksudnya:

"Maka hadis ini tidak ada asal baginya dan tidak sahih".[1]

Lafaz ini hakikatnya mempunyai makna yang sama dengan hadis yang ditanya di dalam soalan.Perbezaannya cuma pada panjang antara dua hadis ini.Namun,walaupun begitu tidak dapat dinafikan bahawa hadis tersebut tetap tiada asalnya kerana mempunyai maksud yang sama meskipun hanya pada awal matan.Mustahil bagi seorang 'Alim besar seumpama As-Syeikh Bin Baz boleh mengatakan "tiada asal" pada satu hadis tanpa memaksudkan juga semua hadis yang mempunyai maksud yang sama.

2. Hadis ini mempunyai salah satu antara ciri-ciri hadis maudhu'.

Jika dinilai berdasarkan matannya.Kita akan dapati bahawa amalannya yang begitu sedikit namun diberikan ganjaran yang begitu banyak.

Hal seperti ini telah pun diterangkan oleh Al-Hafiz Ibn Al-Qayyim (w. 751H) dalam kitabnya yang terkenal,"Al-Manar Al-Munif."[2]

Wallahu a'lam.

___________________________________________________________________________________

Rujukan:

[1] Abdul Aziz Bin Abdullah Bin Abdurrahman Bin Baz,Majmu' Fatawa Wa Maqalat Mutanawwi'ah,terbitan Darul Qasim,cetakan pertama (1420 H),j. 4,hlm. 445.

[2] Al-Imam Syamsuddin Abi 'Abd Allah bin Abi Bakr Al-Hanbali Ad-Dimasyqi,Al-Manar Al-Munif Fi As-Sahih Wa Ad-Dha'if,tahqiq Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah,terbitan Maktabah Al-Mathbu'ah Al-Islamiyah,cetakan pertama (1980 M),hlm. 51.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...