Friday 15 December 2017

"Terima Kasih"

"Terima kasih", demikianlah ucapan yang setiap kita diajarkan untuk menyebutnya untuk menyambut balas budi baik orang kepada kita. Itu di dalam bahasa melayu, jika di dalam bahasa lain, lain pula bunyinya sesuai menurut bahasa masing-masing baik cina,india ataupun lain-lain bangsa.


-Adat Yang Baik-



Ucapan ini memang merupakan salah satu adat warisan nenek-moyang kita yang sangat baik, maka memang wajar ia diwarisi daripada generasi ke generasi tanpa mengira sempadan bangsa, bahasa mahupun budaya.


-Islam Sendiri Mengajarkannya-



Namun, mungkin ramai orang tidak sedar bahawa sebenarnya ucapan "balas baik" seperti ini memang merupakan sebahagian daripada ajaran Islam yang asalnya sendiri ialah sunnah Nabi Muhammad S.A.W. Demikianlah indahnya agama ini sehingga hal yang sedemikian rupa juga memang ada dasarnya secara khusus.

Hal ini jelas jika kita memperhatikan hadis yang telah diriwayatkan oleh al-Imam al-Tirmizi [1], Ibn Hibban [2] , dan lain-lain daripada Usamah bin Zaid, Rasulullah S.A.W telah bersabda:

مَنْ صُنِعَ إِلَيْهِ مَعْرُوفٌ فَقَالَ لِفَاعِلِهِ جَزَاكَ اللَّهُ خَيْرًا فَقَدْ أَبْلَغَ فِي الثَّنَاءِ

Maksudnya:

"Sesiapa yang diperlakukan kepadanya kebaikan maka katakanlah kepada si pelakunya :

 جزاك الله خيرا

(semoga Allah membalasmu dengan kebaikan)

maka sungguh dia telah memberikan pujian terbaik".

Hadis ini telah disahihkan oleh al-Syeikh al-Albani [3] dan Isnadnya telah dihukum sahih atas syarat Muslim oleh al-Syeikh Syu'aib al-Arna'outh [4].


-Cuma ia lebih baik-



Jelas bukan bahawa amalan baik ini sebenarnya telah lama diajarkan dan dipraktikkan oleh Nabi S.A.W? Cumanya, cara baginda ucapkan tanda syukur atau terima kasih itu adalah lebih baik lagi, bahkan sangat baik.

Ucapan baginda secara langsung telah menyelitkan doa agar orang yang melakukan kebaikan tersebut juga dibalas kebaikan, bahkan kebaikan tersebut adalah terus daripada Allah, maka kebaikan siapakah lagi yang kita mahukan kalau tidak kebaikan daripada Allah?

-Mungkin ada yang sudah tahu namun...-


Saya yakin, mungkin ramai juga orang yang sudah tahu akan hal ini, mana tidaknya, di zaman ini pelbagai wasilah boleh digunakan untuk mengetahui sunnah Nabi S.A.W. Tambahan lagi, ramai juga manusia yang selalu bergaul dengan golongan ustaz mahupun ustazah mungkin biasa terdengar mereka melafazkan perkataan ini di celah-celah percakapan mereka.

Namun seperkara lagi, tidak dapat dinafikan bahawa ramai yang segan untuk mempraktiskan sunnah ini dalam kehidupan mereka, adakalanya kerana takut diperli sebagai "sudah menjadi ustaz" dan sebagainya. Anasir-anasir seperti ini perlu dilawan dan ditangkis, memang biasanya orang akan malu melakukan sesuatu perkara baik yang jarang dibuat orang, namun itulah yang perlu dibetulkan, tidak patut kita malu pada perkara yang benar apatah lagi pada perkara memang ada dasarnya di dalam sunnah secara jelas. Bak kata pepatah "betulkan yang biasa, biasakan yang betul".

-Kadang-kadang orang jadi tersilap-


Walaupun begitu, kita juga tidak boleh mengingkari bahawa ucapan ini sebenarnya sudah banyak diamalkan, bagus dan syabas bagi mereka yang boleh beramal dengan sunnah ini.

Cuma, di sana terdapat juga mereka yang telah beramal namun tersilap. Bagaimana? Terdapat segelintir manusia yang kadangkala itu ketika menyebutkan perkataan "Jazakallahu Khairan" ini namun tidak lengkap, ramai juga yang hanya menyebut "Jazakallah" dan berhenti di tengah jalan tanpa menyambung dengan lafaz "Khairan" yang membawa erti kebaikan. Perkara ini mungkin dianggap ringan oleh sesetengah pihak, namun ia mempunyai implikasi yang perlu diambil kira sebagai penting juga.

Hal ini demikian kerana ucapan "Jazakallah" hanya membawa maksud "semoga Allah membalasmu", maka tanpa syak lagi doa tersebut menjadi tidak lengkap. Maka apa balasan yang kita pintakan agar Allah membalasnya? Tentulah kita mahukan kebaikan bukan?

Malah mungkin boleh sahaja terjadi balasan itu buruk kerana doa tersebut tiada pengikatnya sama ada yang dipinta itu kebaikan mahupun keburukkan. Maka disebabkan itu ucaplah sehingga habis. Di samping itu kita juga harus cakna bahawa yang Nabi S.A.W suruh sebutkan itu adalah dengan penuh, bukan sebahagian-sebahagian.

-Bolehkah menyebutkannya kepada orang kafir yang melakukan kebaikan kepada kita?- 


Di sini suka untuk saya menaqalkan satu pandangan daripada laman fatwa islam web [5]

Begini persoalannya:

السؤال

هل يجوز لي أن أقول للكافر جزاك الله خيراً إذا أسدى لي خدمة؟

الإجابــة

الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه، أما بعـد:

فالذي يظهر ـ والله أعلم ـ أنه لا حرج في أن يقول المسلم للكافر الحي " جزاك الله خيرا" مكأفاة له على معروفه أسداه إليه.

فإن أهل العلم قد نصوا على أنه يجوز الدعاء للكافر بالهداية للإيمان والدخول في الإسلام، وكذلك الدعاء له بمصالح الدنيا من نعمة المال والولد ونحو ذلك إذا كان مسالما، وهذا  كله من الخير الذي يجوز الدعاء له به.

ويمكن مطالعة الفتوى رقم: 29836، ففيها بيان ما يجوز، وما لا يجوز من الدعاء للكافر.

والله أعلم.

Maksudnya:

"Soalan:

Adakah boleh bagi saya mengucapkan kepada seorang kafir "Jazakallahu Khairan" (Semoga Allah membalasmu kebaikan) apabila dia memberikanku kebaikan?

Jawapan:

Segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah serta juga ahli keluarga baginda dan para sahabatnya, amma ba'd:

Maka adalah apa yang jelas -dan Allah jua yang lebih mengetahui- bahawasanya tidak mengapa seorang muslim menyebutkan kepada orang kafir yang hidup "Jazakallahu Khairan" sebagai balasan baginya atas kebaikan yang diberikan olehnya kepada dia.

Maka bahawasanya ahli ilmu telah pun menaskan (menyebutkan) adalah harus mendoakan bagi seorang kafir dengan hidayah kepada Iman dan masuk ke dalam Islam. Begitulah juga dengan mendoakannya dengan kebaikan dunia yang terdiri daripada harta serta anak-pinak dan yang seumpamanya sekiranya dia itu seorang yang baik. Dan ini semuanya adalah termasuk daripada kebaikan yang harus didoakan baginya (orang kafir tersebut) dengannya.

Boleh juga rujuk fatwa no. 29836 , padanya ada penjelasan berkenaan apa yang boleh dan apa yang tidak daripada urusan doa untuk orang kafir".

Wallahu a'lam.

::A.N.A::

______________________________

Nota Kaki :-

[1] Diriwayatkan oleh al-Imam al-Tirmizi dalam Kitab al-Bir Wa al-Shillah 'An Rasulillah S.A.W, Bab Ma Ja'a Fi Thana' Bi al-Ma'ruf, no. 2035. Kata Abu 'Isa al-Tirmizi :

ﻫ‍‍ﺬ‍ﺍ ‍ﺣ‍‍ﺪ‍ﻳ‍‍ﺚ‍ ‍ﺣ‍‍ﺴ‍‍ﻦ‍ ‍ﺟ‍‍ﻴ‍‍ﺪ ‍ﻏ‍‍ﺮ‍ﻳ‍‍ﺐ‍ ‍ﻟ‍‍ﺎ ‍ﻧ‍‍ﻌ‍‍ﺮ‍ﻓ‍‍ﻪ‍ ‍ﻣ‍‍ﻦ‍ ‍ﺣ‍‍ﺪ‍ﻳ‍‍ﺚ‍ ‍ﺃ‍ﺳ‍‍ﺎ‍ﻣ‍‍ﺔ ‍ﺑ‍‍ﻦ‍ ‍ﺯ‍ﻳ‍‍ﺪ ‍ﺇ‍ﻟ‍‍ﺎ ‍ﻣ‍‍ﻦ‍ ‍ﻫ‍‍ﺬ‍ﺍ ‍ﺍ‍ﻟ‍‍ﻮ‍ﺟ‍‍ﻪ‍ ‍ﻭ‍ﻗ‍‍ﺪ ‍ﺭ‍ﻭ‍ﻱ‍ ‍ﻋ‍‍ﻦ‍ ‍ﺃ‍ﺑ‍‍ﻲ‍ ‍ﻫ‍‍ﺮ‍ﻳ‍‍ﺮ‍ﺓ, ‍ﻋ‍‍ﻦ‍ ‍ﺍ‍ﻟ‍‍ﻨ‍‍ﺒ‍‍ﻲ‍ ‍ﺻ‍‍ﻠ‍‍ﻰ ‍ﺍ‍ﻟ‍‍ﻠ‍‍ﻪ‍ ‍ﻋ‍‍ﻠ‍‍ﻴ‍‍ﻪ‍ ‍ﻭ‍ﺳ‍‍ﻠ‍‍ﻢ‍ ‍ﺑ‍‍ﻤ‍‍ﺜ‍‍ﻠ‍‍ﻪ‍, ‍ﻭ‍ﺳ‍‍ﺄ‍ﻟ‍‍ﺖ‍ ‍ﻣ‍‍ﺤ‍‍ﻤ‍‍ﺪ‍ﺍ ‍ﻓ‍‍ﻠ‍‍ﻢ‍ ‍ﻳ‍‍ﻌ‍‍ﺮ‍ﻓ‍‍ﻪ‍

Maksudnya :

"Hadis ini Hasan Jayyid Gharib, kami tidak mengetahuinya daripada hadis Usamah bin Zaid melainkan daripada jalan ini, dan sungguh telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah daripada Nabi S.A.W sama sepertinya, dan aku telah bertanya kepada Muhammad maka dia tidak mengetahuinya".

[2] Diriwayatkan oleh al-Imam Ibn Hibban pada bab Zikr al-Syai' al-Ladzi Iza Qalahu al-Mar'u Li al-Musdi Ilaihi Ma'ruf 'Inda 'Adami al-Qudrah 'Ala al-Jaza' Yakunu Mubalighan Fi Thawabih, no. 3413 (Tahqiq al-Syeikh Syu'aib al-Arna'outh).

[3] al-Syeikh al-Albani telah menghukumnya sebagai sahih dalam al-Misykat no. 3024 dan juga Sahih al-Targhib no. 959.

[4] Hal ini telah disebutkan dalam Tahqiq beliau Rahamahullahu Ta'ala ke atas Sahih Ibn Hibban pada no. 3413.

[5] http://fatwa.islamweb.net/fatwa/index.php?page=showfatwa&Option=FatwaId&Id=136628

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...