Friday, 5 January 2018

Mengapa Kita Susah Untuk Move On Dan Lupakan Kisah Silam

Friday, 22 December 2017

Sifat Mehnah Duniawi


Ujian,
Bahasanya BISU,
Hadirnya tidak terduga,
Adakalanya ujian itu bertandang untuk membersihkan dosa,
Ada kalanya untuk mengajak kita bertanya,
Apakah diri sudah terlupa.
Ya,
Terlupa siapakah kita disisinya,
Terlupa dari manakah kita datang dan kemana hala
tuju hidup kita,
Terlupa yang kita sebenarnya
tidak punya apa-apa,
Apakah kita masih ingin menderhaka padaNYA?
Kita bicara tentang pancaroba,
Kita berkata tentang malapetaka,
Tapi hati masih terleka,
Kita tewas kala gembira,
kita tersungkur tika derita.
Namun andai ujian
itu membawa kita ke pintu Kesedaran,
Maka ujian itu sebenarnya Manis!!!

Allah tidak pernah menjadikan
sesuatu itu sia-sia,
Sesungguhnya dunia itu medan ujian,
Akhirat jualah tempat kebahagiaan abadi.
Allah itu sedang menguji kita..🍃💕

--TintaQowiyy

Friday, 15 December 2017

"Terima Kasih"

"Terima kasih", demikianlah ucapan yang setiap kita diajarkan untuk menyebutnya untuk menyambut balas budi baik orang kepada kita. Itu di dalam bahasa melayu, jika di dalam bahasa lain, lain pula bunyinya sesuai menurut bahasa masing-masing baik cina,india ataupun lain-lain bangsa.


-Adat Yang Baik-



Ucapan ini memang merupakan salah satu adat warisan nenek-moyang kita yang sangat baik, maka memang wajar ia diwarisi daripada generasi ke generasi tanpa mengira sempadan bangsa, bahasa mahupun budaya.


-Islam Sendiri Mengajarkannya-



Namun, mungkin ramai orang tidak sedar bahawa sebenarnya ucapan "balas baik" seperti ini memang merupakan sebahagian daripada ajaran Islam yang asalnya sendiri ialah sunnah Nabi Muhammad S.A.W. Demikianlah indahnya agama ini sehingga hal yang sedemikian rupa juga memang ada dasarnya secara khusus.

Hal ini jelas jika kita memperhatikan hadis yang telah diriwayatkan oleh al-Imam al-Tirmizi [1], Ibn Hibban [2] , dan lain-lain daripada Usamah bin Zaid, Rasulullah S.A.W telah bersabda:

مَنْ صُنِعَ إِلَيْهِ مَعْرُوفٌ فَقَالَ لِفَاعِلِهِ جَزَاكَ اللَّهُ خَيْرًا فَقَدْ أَبْلَغَ فِي الثَّنَاءِ

Maksudnya:

"Sesiapa yang diperlakukan kepadanya kebaikan maka katakanlah kepada si pelakunya :

 جزاك الله خيرا

(semoga Allah membalasmu dengan kebaikan)

maka sungguh dia telah memberikan pujian terbaik".

Hadis ini telah disahihkan oleh al-Syeikh al-Albani [3] dan Isnadnya telah dihukum sahih atas syarat Muslim oleh al-Syeikh Syu'aib al-Arna'outh [4].


-Cuma ia lebih baik-



Jelas bukan bahawa amalan baik ini sebenarnya telah lama diajarkan dan dipraktikkan oleh Nabi S.A.W? Cumanya, cara baginda ucapkan tanda syukur atau terima kasih itu adalah lebih baik lagi, bahkan sangat baik.

Ucapan baginda secara langsung telah menyelitkan doa agar orang yang melakukan kebaikan tersebut juga dibalas kebaikan, bahkan kebaikan tersebut adalah terus daripada Allah, maka kebaikan siapakah lagi yang kita mahukan kalau tidak kebaikan daripada Allah?

-Mungkin ada yang sudah tahu namun...-


Saya yakin, mungkin ramai juga orang yang sudah tahu akan hal ini, mana tidaknya, di zaman ini pelbagai wasilah boleh digunakan untuk mengetahui sunnah Nabi S.A.W. Tambahan lagi, ramai juga manusia yang selalu bergaul dengan golongan ustaz mahupun ustazah mungkin biasa terdengar mereka melafazkan perkataan ini di celah-celah percakapan mereka.

Namun seperkara lagi, tidak dapat dinafikan bahawa ramai yang segan untuk mempraktiskan sunnah ini dalam kehidupan mereka, adakalanya kerana takut diperli sebagai "sudah menjadi ustaz" dan sebagainya. Anasir-anasir seperti ini perlu dilawan dan ditangkis, memang biasanya orang akan malu melakukan sesuatu perkara baik yang jarang dibuat orang, namun itulah yang perlu dibetulkan, tidak patut kita malu pada perkara yang benar apatah lagi pada perkara memang ada dasarnya di dalam sunnah secara jelas. Bak kata pepatah "betulkan yang biasa, biasakan yang betul".

-Kadang-kadang orang jadi tersilap-


Walaupun begitu, kita juga tidak boleh mengingkari bahawa ucapan ini sebenarnya sudah banyak diamalkan, bagus dan syabas bagi mereka yang boleh beramal dengan sunnah ini.

Cuma, di sana terdapat juga mereka yang telah beramal namun tersilap. Bagaimana? Terdapat segelintir manusia yang kadangkala itu ketika menyebutkan perkataan "Jazakallahu Khairan" ini namun tidak lengkap, ramai juga yang hanya menyebut "Jazakallah" dan berhenti di tengah jalan tanpa menyambung dengan lafaz "Khairan" yang membawa erti kebaikan. Perkara ini mungkin dianggap ringan oleh sesetengah pihak, namun ia mempunyai implikasi yang perlu diambil kira sebagai penting juga.

Hal ini demikian kerana ucapan "Jazakallah" hanya membawa maksud "semoga Allah membalasmu", maka tanpa syak lagi doa tersebut menjadi tidak lengkap. Maka apa balasan yang kita pintakan agar Allah membalasnya? Tentulah kita mahukan kebaikan bukan?

Malah mungkin boleh sahaja terjadi balasan itu buruk kerana doa tersebut tiada pengikatnya sama ada yang dipinta itu kebaikan mahupun keburukkan. Maka disebabkan itu ucaplah sehingga habis. Di samping itu kita juga harus cakna bahawa yang Nabi S.A.W suruh sebutkan itu adalah dengan penuh, bukan sebahagian-sebahagian.

-Bolehkah menyebutkannya kepada orang kafir yang melakukan kebaikan kepada kita?- 


Di sini suka untuk saya menaqalkan satu pandangan daripada laman fatwa islam web [5]

Begini persoalannya:

السؤال

هل يجوز لي أن أقول للكافر جزاك الله خيراً إذا أسدى لي خدمة؟

الإجابــة

الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه، أما بعـد:

فالذي يظهر ـ والله أعلم ـ أنه لا حرج في أن يقول المسلم للكافر الحي " جزاك الله خيرا" مكأفاة له على معروفه أسداه إليه.

فإن أهل العلم قد نصوا على أنه يجوز الدعاء للكافر بالهداية للإيمان والدخول في الإسلام، وكذلك الدعاء له بمصالح الدنيا من نعمة المال والولد ونحو ذلك إذا كان مسالما، وهذا  كله من الخير الذي يجوز الدعاء له به.

ويمكن مطالعة الفتوى رقم: 29836، ففيها بيان ما يجوز، وما لا يجوز من الدعاء للكافر.

والله أعلم.

Maksudnya:

"Soalan:

Adakah boleh bagi saya mengucapkan kepada seorang kafir "Jazakallahu Khairan" (Semoga Allah membalasmu kebaikan) apabila dia memberikanku kebaikan?

Jawapan:

Segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah serta juga ahli keluarga baginda dan para sahabatnya, amma ba'd:

Maka adalah apa yang jelas -dan Allah jua yang lebih mengetahui- bahawasanya tidak mengapa seorang muslim menyebutkan kepada orang kafir yang hidup "Jazakallahu Khairan" sebagai balasan baginya atas kebaikan yang diberikan olehnya kepada dia.

Maka bahawasanya ahli ilmu telah pun menaskan (menyebutkan) adalah harus mendoakan bagi seorang kafir dengan hidayah kepada Iman dan masuk ke dalam Islam. Begitulah juga dengan mendoakannya dengan kebaikan dunia yang terdiri daripada harta serta anak-pinak dan yang seumpamanya sekiranya dia itu seorang yang baik. Dan ini semuanya adalah termasuk daripada kebaikan yang harus didoakan baginya (orang kafir tersebut) dengannya.

Boleh juga rujuk fatwa no. 29836 , padanya ada penjelasan berkenaan apa yang boleh dan apa yang tidak daripada urusan doa untuk orang kafir".

Wallahu a'lam.

::A.N.A::

______________________________

Nota Kaki :-

[1] Diriwayatkan oleh al-Imam al-Tirmizi dalam Kitab al-Bir Wa al-Shillah 'An Rasulillah S.A.W, Bab Ma Ja'a Fi Thana' Bi al-Ma'ruf, no. 2035. Kata Abu 'Isa al-Tirmizi :

ﻫ‍‍ﺬ‍ﺍ ‍ﺣ‍‍ﺪ‍ﻳ‍‍ﺚ‍ ‍ﺣ‍‍ﺴ‍‍ﻦ‍ ‍ﺟ‍‍ﻴ‍‍ﺪ ‍ﻏ‍‍ﺮ‍ﻳ‍‍ﺐ‍ ‍ﻟ‍‍ﺎ ‍ﻧ‍‍ﻌ‍‍ﺮ‍ﻓ‍‍ﻪ‍ ‍ﻣ‍‍ﻦ‍ ‍ﺣ‍‍ﺪ‍ﻳ‍‍ﺚ‍ ‍ﺃ‍ﺳ‍‍ﺎ‍ﻣ‍‍ﺔ ‍ﺑ‍‍ﻦ‍ ‍ﺯ‍ﻳ‍‍ﺪ ‍ﺇ‍ﻟ‍‍ﺎ ‍ﻣ‍‍ﻦ‍ ‍ﻫ‍‍ﺬ‍ﺍ ‍ﺍ‍ﻟ‍‍ﻮ‍ﺟ‍‍ﻪ‍ ‍ﻭ‍ﻗ‍‍ﺪ ‍ﺭ‍ﻭ‍ﻱ‍ ‍ﻋ‍‍ﻦ‍ ‍ﺃ‍ﺑ‍‍ﻲ‍ ‍ﻫ‍‍ﺮ‍ﻳ‍‍ﺮ‍ﺓ, ‍ﻋ‍‍ﻦ‍ ‍ﺍ‍ﻟ‍‍ﻨ‍‍ﺒ‍‍ﻲ‍ ‍ﺻ‍‍ﻠ‍‍ﻰ ‍ﺍ‍ﻟ‍‍ﻠ‍‍ﻪ‍ ‍ﻋ‍‍ﻠ‍‍ﻴ‍‍ﻪ‍ ‍ﻭ‍ﺳ‍‍ﻠ‍‍ﻢ‍ ‍ﺑ‍‍ﻤ‍‍ﺜ‍‍ﻠ‍‍ﻪ‍, ‍ﻭ‍ﺳ‍‍ﺄ‍ﻟ‍‍ﺖ‍ ‍ﻣ‍‍ﺤ‍‍ﻤ‍‍ﺪ‍ﺍ ‍ﻓ‍‍ﻠ‍‍ﻢ‍ ‍ﻳ‍‍ﻌ‍‍ﺮ‍ﻓ‍‍ﻪ‍

Maksudnya :

"Hadis ini Hasan Jayyid Gharib, kami tidak mengetahuinya daripada hadis Usamah bin Zaid melainkan daripada jalan ini, dan sungguh telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah daripada Nabi S.A.W sama sepertinya, dan aku telah bertanya kepada Muhammad maka dia tidak mengetahuinya".

[2] Diriwayatkan oleh al-Imam Ibn Hibban pada bab Zikr al-Syai' al-Ladzi Iza Qalahu al-Mar'u Li al-Musdi Ilaihi Ma'ruf 'Inda 'Adami al-Qudrah 'Ala al-Jaza' Yakunu Mubalighan Fi Thawabih, no. 3413 (Tahqiq al-Syeikh Syu'aib al-Arna'outh).

[3] al-Syeikh al-Albani telah menghukumnya sebagai sahih dalam al-Misykat no. 3024 dan juga Sahih al-Targhib no. 959.

[4] Hal ini telah disebutkan dalam Tahqiq beliau Rahamahullahu Ta'ala ke atas Sahih Ibn Hibban pada no. 3413.

[5] http://fatwa.islamweb.net/fatwa/index.php?page=showfatwa&Option=FatwaId&Id=136628

Sunday, 9 April 2017

Terjemahan Matan Nawaqidh al-Islam

بِسْمِ اللهِ الرحمنِ الرَّحِيمِ 

Maksudnya:

"Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang". 

اعلم أن من أعظم نواقض الإسلام عشرة

Maksudnya:

"Ketahuilah bahawa antara pembatal Islam yang terbesar ada 10 iaitu:"

:الأول

الشرك في عبادة الله تعالى، والدليل قوله تعالى 

﴾إن الله لا يغفر أن يشرك به ويغفر ما دون ذلك لمن يشاء﴿ 

ومنه: الذبح لغير الله، كمن يذبح للجن، أو للقبر

Maksudnya:

"Pertama:

Syirik dalam beribadah kepada Allah.

Dalilnya ialah firman-Nya yang Maha Tinggi: 

[Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik dia dipersekutukan dengan yang lain, dan akan mengampuni dosa yang lain daripada syirik itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya](Surah al-Nisa' ayat 48)

Di antara bentuk syirik tersebut adalah menyembelih untuk selain Allah seperti orang yang menyembelih untuk jin atau kubur".

:الثاني 

من جعل بينه وبين الله وسائط، يدعوهم، ويسألهم الشفاعة، ويتوكل عليهم، كفر إجماعا

Maksudnya:

"Kedua:

Sesiapa yang menjadikan perantaraan-perantaraan antara dirinya dengan Allah,dia berdoa kepada mereka dan meminta syafaat kepada mereka serta bertawakal ke atas mereka maka dia telah kafir menurut ijma' ".

:الثالث

من لم يكفر المشركين، أو شك في كفرهم، أو صحح مذهبهم كفر إجماعا

Maksudnya:

"Ketiga:

Sesiapa yang tidak mengkafirkan orang-orang musyrik,atau ragu-ragu terhadap kekafiran mereka,ataupun membenarkan ajaran mereka maka dia telah kafir menurut ijma'".

:الرابع

من اعتقد أن غير هدي النبي (ص) أكمل من هديه، أو أن حكم غيره أحسن من حكمه - كالذين يفضلون حكم الطواغيت على حكمه - فهو كافر

Maksudnya:

"Keempat:

Barangsiapa yang mempercayai bahawa selain petunjuk Nabi S.A.W adalah lebih sempurna berbanding petunjuk baginda atau bahawa hukum selain baginda adalah lebih baik daripada hukum baginda sepertimana orang-orang yang mengutamakan hukum para thaguth ke atas hukum baginda maka dia ialah seorang kafir".

:الخامس

من أبغض شيئا مما جاء به الرسول (ص) - ولو عمل به - كفر إجماعا، والدليل قوله تعالى: 

﴾ ذلك بأنهم كرهوا ما أنزل الله فأحبط أعمالهم﴿

Maksudnya:

"Kelima:

Barangsiapa yang membenci sesuatu daripada apa yang didatangkan oleh Rasul S.A.W,walaupun dia beramal dengannya maka dia kafir menurut ijma'.

Dalilnya ialah firman-Nya yang Maha Tinggi:

[Demikian kerana mereka benci apa yang yang diturunkan oleh Allah maka Dia menghapuskan amalan-amalan kebaikan mereka]".

:السادس

من استهزأ بشيء من دين الله، أو ثوابه، أو عقابه، كفر، والدليل قوله تعالى: 

 ﴾ قل أبالله وأياته ورسوله كنتم تستهزؤن * لا تعتذروا قد كفرتم بعد إيمانكم﴿

Maksudnya:

"Keenam:

Sesiapa yang mengolok-olokkan sesuatu perkara daripada agama Allah,ataupun pahala-Nya ataupun seksaan-Nya maka dia kafir.

Dan dalilnya ialah firman-Nya yang Maha Tinggi:

[Katakanlah,"Apakah (patut) dengan Allah,ayatnya dan Rasulnya kamu memperolok-olokkan?Tidak perlu berdalih kerana kamu semua telah pun kafir setelah beriman"]".

:السابع

السحر - ومنه الصرف والعطف - فمن فعله أو رضي به، كفر، والدليل قوله تعالى:

﴾ وما يعلمان من أحد حتى يقولا إنما نحن فتنة فلا تكفر﴿ 

Maksudnya:

"Ketujuh:

Sihir. Antaranya ialah perbuatan "al-Sarf" 《1》dan "al-'Athf" 《2》. Maka sesiapa yang melakukannya ataupun redha terhadapnya, dia telah kafir.

Dalinya ialah firman-Nya yang Maha Tinggi:

[Sedang kedua-duanya (malaikat Harut dan Marut) tidaklah mengajar sesuatu (daripada sihir itu) kepada seseorang pun melainkan mereka berkata dahulu : "Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan buatmu,maka janganlah kamu menjadi kafir (dengan sebab mempelajarinya)"]".

:الثامن

مظاهرة المشركين ومعاونتهم على المسلمين، والدليل قوله تعالى

﴾ ومن يتولهم منكم فإنه منهم إن الله لا يهدى القوم الظالمين﴿

Maksudnya:

"Kelapan:

Menolong orang-orang musyrik serta membantu mereka dalam melawan ke atas orang-orang Islam.

Dalilnya ialah firman-Nya yang Maha Tinggi:

[Dan sesiapa di antara kamu yang mengambil mereka sebagai teman rapat,maka sesungguhnya dia adalah tergolong daripada kalangan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah kepada orang-orang yang zalim]".

:التاسع

من اعتقد أن بعض الناس لا يجب عليه اتباع النبي (ص)، وأنه يسعه الخروج عن شريعته (ص) - كما وسع الخضر الخروج عن شريعة موسى (ع) - فهو كافر

Maksudnya:

"Kesembilan:

Sesiapa yang mempercayai bahawa sebahagian manusia tidak wajib ke atasnya mengikut Nabi S.A.W, dan dia boleh keluar daripada syariatnya S.A.W, sepertimana keluarnya Khadir daripada syariat Nabi Musa 'alaihi al-salam, maka dia merupakan seorang kafir.

:العاشر

الإععراض عن دين الله - لا يتعلمه ولا يعمل به -، والدليل قوله تعالى:

﴾ومن أظلم ممن ذكر بأيات ربه ثم أعرض عنها إنا من المجرمين منتقمون﴿ 

Maksudnya:

"Kesepuluh:

Berpaling daripada agama Allah. Dia tidak mempelajarinya dan tidak mengamalkannya.

Dalilnya ialah firman-Nya yang Maha Tinggi:

[Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang diberi peringatan berkenaan ayat-ayat Tuhannya kemudian dia berpaling daripadanya? Sesungguhnya kami akan memberikan pembalasan kedapada orang-orang yang berdosa]".

ولا فرق في جميع هذه النواقض بين الهازل والجاد والخائف، إلا المكره

Maksudnya:

"Dan tidak ada perbezaan pada semua pembatal-pembatal Islam ini di antara orang yang bergurau, mahupun serius, ataupun orang yang takut kecuali orang yang dipaksa".

وكلها من أعظم ما يكون خطرا، ومن أكثر ما يكون وقوعا، فينبغي للمسلم أن يحذرها ويخاف منها على نفسه

Maksudnya:

"Dan semuanya adalah daripada sebesar-besar perkara yang berisiko,dan ia termasuk daripada perkara-perkara yang sering berlaku. Maka sepatutnya bagi seorang muslim, berwaspada terhadapnya dan bimbang menaruh bimbang takut terkena dirinya sendiri".

نعوذ بالله من موجبات غضبه، وأليم عقابه

Maksudnya:

"Kita berlindung dengan Allah daripada segala perkara yang menyebabkan wajib kemurkan-Nya,serta kepedihan azab-Nya".

وصلى الله على نبينا محمد، وعلى اله، وصحبه وسلم.


Maksudnya:

"Dan semoga Allah melimpahkan selawat ke atas Nabi kita Muhammad,juga para ahli keluarganya dan para sahabatnya disertakan juga salam ke atas mereka itu".

_________________________________________________________________________________



《1》 Pengertian al-Sarf:-

Menurut al-Syeikh Sulaiman bin Nasir bin 'Abd Allah al-'Ulwan:

صرف الرجل عما يهواه، كصرفه مثلا عن محبة زوجته إلى بغضها

Maksudnya:

"Memalingkan (perasaan) seseorang lelaki daripada apa yang disukainya, contohnya seperti memalingkan dia daripada mencintai isterinya kepada membencinya".

[Sulaiman bin Nasir 'Abd Allah al-'Ulwan, al-Tibyan Syarh Nawaqidh al-Islam, Dar al-Bayariq, cetakan pertama, 1420 H - 1999, m/s 51]

《2》Pengertian al-'Athf:-

Menurut al-Syeikh Sulaiman bin Nasir 'Abd Allah al-'Ulwan:

عمل سحري كالصرف، ولكنه يعطف الرجل عما لا يهواه إلى محبته بطرق شيطانية

Maksudnya:

"Perbuatan sihir seperti al-sarf juga, namun ia menyebabkan rasa kasih seorang lelaki terhadap apa yang tidak disukainya kepada mencintainya dengan melalui jalan-jalan syaitan".

[Sulaiman bin Nasir 'Abd Allah al-'Ulwan, al-Tibyan Syarh Nawaqidh al-Islam, Dar al-Bayariq, cetakan pertama, 1420 H - 1999, m/s 51]

Terjemahan :

Akhukum Fillah, Asyttar Nabil bin Ashraf.

Info : Matan ini diambil daripada kumpulan "متون طالب العلم" susunan Dr. 'Abd al-Muhsin bin Muhammad al-Qasim, Maktabah 'Abd al-Malik Fahd al-Wathaniyah Asna' al-Nasyr cetakan keempat, 1435 H - 2014 M, m/s 25 - 28.

Tuesday, 27 December 2016

Benarkah Kisah Ini?

Soalan:

Assalamualaikum Ustaz,


Hadisni sahih tak?

Pada suatu ketika, Rasulullah ﷺ bertanya kepada para sahabat; “Siapakah yang paling luar biasa imannya?”
Para sahabat menjawab; “Malaikat,Ya Rasulullah.”
Balas Rasulullah ﷺ; “Sudah tentulah Malaikat luar biasa imannya, kerana mereka sentiasa disisi ALLAH.”
Seketika terdiam para sahabat, menjawab lagi; “Para nabi, Ya Rasulullah.” Rasulullah ﷺ berkata; “Para nabi sudah tentu hebat imannya, kerana mereka menerima wahyu daripada ALLAH.”
Para sahabat mencuba lagi; “Kalau begitu kamilah yang paling beriman.” Jawab Rasulullah; “Aku berada di tengah tengah kalian, sudah tentulah kalian orang yang paling beriman.”
Lalu, salah seorang sahabat berkata; “Kalau begitu, ALLAH & Rasul-NYA sajalah yang mengetahui.”
Maka dengan nada perlahan, Rasulullah berkata; “Mereka adalah umat yang hidup selepas aku. Mereka membaca AlQuran & beriman dengan isinya. Orang yang beriman denganku & pernah bertemu denganku, adalah orang yang bahagia. Namun orang yang 7kali lebih bahagia adalah mereka yang tidak pernah bertemu aku tetapi beriman denganku.” Rasulullah diam seketika. Kemudian, Baginda ﷺ menyambung dengan suara yang lirih; “Sesungguhnya, aku rindukan mereka… “

Ya Rasulullah..kami amat merindukan dirimu..

۞اَللهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ۞

@▪فَاسْتَبِقُوا الْخَيْرَاتِ▪

Jawapan[1]:


Wa'alaikumussalam.

Hadith tersebut ada diriwayatkan oleh al-Baihaqi dalam Dalail al-Nubuwwah melalui dua hadith.

Hadith pertama, diriwayatkan oleh al-Baihaqi daripada Ahmad bin Abd al-Jabbar daripada Yunus bin Bukair daripada Malik bin Mighwal daripada Thalhah bin Abi Soleh daripada Rasulullah s.a.w. (Dalail al-Nubuwwah oleh al-Baihaqi, juz 6 m/s 538. Tahqiq oleh Dr 'Abd al-Mu'thi Qal'aji. Cetakan pertama, tahun 1408 H/1988 M. Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah, Beirut)

Hadith tersebut dihukum mursal oleh al-Baihaqi seusai menyebutkan hadith tersebut. Di samping itu, dalam sanadnya terdapat perawi bernama Ahmad bin 'Abd al-Jabbar al-'Utharidi. Beliau dinilai dhaif oleh beberapa kalangan ulama, antaranya Abu Hatim. (Lihat: Mizan al-I'tidal oleh al-Zahabi, juz 1 m/s 252, biografi no 442-443. Cetakan pertama, tahun 1416 H/1995 M. Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah, Beirut)

Al-Imam al-Nasaie berkata berkenaan beliau "kazzab (kaki dusta)", al-Imam Abu Zur'ah al-Razi berkata " Sudah berzaman aku tidak lihat munculnya di Mesir orang yang paling pendusta dalam hadith dan paling berani berbohong berbanding lelaki ini". (Al-Jami' Fi al-Jarh Wa al-Ta'dil oleh al-Syeikh al-Sayyid Abu al-Ma'athi al-Nuri dan rakan-rakan, jld 1 m/s 44-45, biografi no 168. Cetakan pertama, tahun 1412 H/1992 M. 'Alam al-Kutub, Beirut)

Hadith kedua pula, diriwayatkan oleh al-Baihaqi melalui jalur sanad Isma'il bin 'Ayyasy daripada al-Mughirah bin Qais daripada 'Amr bin Syu'aib daripada ayah beliau daripada datuk beliau daripada Rasulullah s.a.w.

Sanad hadith ini juga terlalu dhaif. Di dalam sanadnya terdapat perawi bernama al-Mughirah bin Qais. Al-Imam Ibn Hajar al-'Asqalani berkata:

"Al-Mughirah bin Qais al-Bashri, meriwayatkan hadith daripada 'Amr bin Syu'aib. Abu Hatim berkata: Munkar al-Hadith. Isma'il bin 'Ayyasy meriwayatkan daripasa beliau". (Lisan al-Mizan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani, juz 8 m/s 135, biografi no 7881. Tahqiq oleh al-Syeikh 'Abd al-Fattah Abu Ghuddah. Cetakan pertama, tahun 1423 H/2002 M. Dar al-Basyair al-Islamiyyah, Beirut)

Al-Hakim turut meriwayatkan dengan makna yang sama tapi lafaznya berbeza dalam al-Mustadrak beliau (juz 4 m/s 181-182, hadith no 7072. Cetakan pertama, tahun 1417 H/1997 M. Dar al-Haramain, Kaherah)

Sanadnya juga terlalu dhaif kerana di dalam sanadnya terdapat perawi bernama Muhammad bin Abi Humaid.

Al-Bukhari berkata berkenaan beliau " Munkar al-Hadith", di tempat lain al-Bukhari berkata "Beliau seorang yang dhaif lagi Zahib al-Hadith. Aku tidak meriwayatkan apa-apa pun daripada beliau", al-Nasaie berkata " Beliau tidak tsiqah", al-Bazzar berkata "Muhammad bin Abi Humaid, diriwayatkan daripada beliau hadith-hadith yang munkar". (Al-Jami' Fi al-Jarh Wa al-Ta'dil, jld 2 m/s 471-472, biografi no 3871)

Terdapat sanad-sanad lain yang kesemuanya adalah terlalu dhaif.

Di dalam hadith-hadith tersebut, tidak disebutkan berkenaan "7 kali bahagia". Berkenaan " 7 kali bahagia", ianya diriwayatkan melalui hadith yang lain.

Al-Syeikh Muqbil al-Wadie hafizhahullah pada awalnya memasukkannya dalam al-Jami' al-Shahih Mimma Laisa Fi al-Shahihain (juz 4 m/s 159, hadith no 2585. Cetakan keempat, tahun 1434 H/2013 M. Dar al-Atsar, Yaman)

Namun, di tarik balik penilaiannya oleh al-Syeikh Muqbil dan beliau memasukkannya ke dalam Ahadith Mu'allah (m/s 61, hadith no 49. Cetakan kedua, 1421 H/2000 M. Dar al-Atsar, Yaman)

Wallahua'lam.

__________________________________________________________________________________________

Nota Kaki:

[1] Jawapan oleh Ustaz Zulfadhli,saya bertanya kepada beliau melalui aplikasi "whatsapp".

Ini Riwayat Al-Bukhari & Muslim?

     Antara jenayah ilmiah dan dusta ke atas Nabi S.A.W yang perlu dielakkan,adalah,ramai orang selalu menyandarkan hadis yang entah dari mana datangnya kepada Al Bukhari dan Muslim,padahal ia langsung tidak terdapat di dalam kedua kitab kedua ulama tersebut,baik dalam Sahihain dan kitab-kitab mereka yang lain.

     Lebih sadis lagi,hadis yang disandarkan kepada kedua-dua orang ulama tersebut tidak juga diriwayatkan oleh para Imam yang lain.Ini merupakan satu kebohongan yang nyata dan perlu diberi peringatan.

     Apa yang lebih melucukan,orang yang mempertahankan perkara ini meskipun dengan terangnya ia salah biasanya berkata,"awak pakar hadis ke nak cek itu riwayat siapa dan ini duduk dalam riwayat mana?".

Begini saya katakan:

1. Masalah ini merupakan sebuah persoalan yang besar.Ia tidak boleh dipandang enteng kerana melibatkan isu ilmiah,malah yang lebih besarnya ialah isu pendustaan ke atas nama Nabi S.A.W di atas apa yang tidak benar daripada baginda.Demikian lagi perkara sebegini biasa berlaku terutamanya kepada orang awam tidak terkecuali juga ahli agama yang tidak berpengetahuan atau tersilap dalam hal ini.

2. Ia berlaku kadangkala bukan kerana niat yang buruk.Boleh jadi niatnya baik,itu tidak kita persoalkan dan nafikan.Cumanya yang menjadi masalah yang kita dakwakan sekarang ini adalah berkenaan penyandaran itu yang mana ia salah dalam urusan agama dan isu ilmiah sekaligus.

3. Urusan besar dalam agama yang disentuh dalam isu ini adalah pendustaan terhadap Rasulullah S.A.W manakala isu ilmiah yang saya katakan itu adalah pada penyandaran rujukan hadis.

     Pendustaan ke atas Nabi S.A.W adalah diharamkan sama sekali dalam agama ini.Hal ini pernah disabdakan oleh Nabi S.A.W sendiri dalam hadisnya:

لَا تَكْذِبُوا عَلَيَّ فَإِنَّهُ مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ فَلْيَلِجْ النَّارَ

Maksudnya:

"Janganlah kalian berdusta ke atasku,karena sesungguhnya barangsiapa berduasta ke atasku dia akan masuk neraka."[1]

Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-'Asqalani (w. 852H) ada menyebutkan dalam Fath Al-Bari:

قوله (لا تكذبوا علي) هو عام في كل كاذب مطلق في كل نوع من الكذب ومعناه لا تنسبوا الكذب إلي 

Maksudnya:

"Perkataan baginda:

لا تكذبوا علي

ertinya:

"janganlah kamu berdusta ke atasku"

adalah umum bagi setiap para pendusta,pada setiap jenis pendustaan dan maknanya adalah "janganlah kamu menisbahkan sesuatu pendustaan kepadaku".[2]

     Besar ancaman buat para pendusta atas nama baginda yang mulia itu.Lagikan pula,hadis baginda ataupun setiap yang datang daripada Rasulullah S.A.W menjadi dasar dalam agama Islam ini.

     Di dalam Al Quran sendiri disebutkan:

وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا ۚ وَاتَّقُوا اللَّـهَ  

Maksudnya:

"Dan apa yang dibawakan kepada kamu semua oleh Rasul maka ambil lah ia dan apa yang kamu semua dilarang olehnya maka berhentilah daripada melakukannya."[3]

     Jelas sungguh bahawa setiap tindak-tanduk perbuatan Nabi,suruhan dan larangannya menjadi pedoman dalam kehidupan muslim.Maka sekiranya sesuatu yang didustakan atas nama Rasulullah S.A.W diambil dan dijadikan pegangan dalam agama,adakah itu boleh dikira sebagai agama sebenar?

4. Manakala isu ilmiahnya pula boleh dilihat daripada sudut penyandaran hadis tersebut.Sebahagian orang dengan sewenang-wenangnya mengutip sesuatu hadis yang entah dari mana datangnya kemudian menyandarkan kepada nama para ulama yang terkenal dengan kejaguhannya dalam ilmu hadis.

5. Contohnya adalah seperti berikut:

"Barang Siapa yg Meniru, Mengucapkan Selamat kpd Agama Lain Bererti ia Telah Kafir & Neraka Janahamlah Tempatnya" (HR.Bukhari Muslim)

     Seperti inilah yang telah sampai kepada saya.Ia biasa disebarkan ketika berlakunya sambutan perayaan agama selain Islam seperti Kristian dan lain-lain.

6. Pertama,si penulis telah salah dalam menyandarkan riwayat tersebut.Kedua hadis dengan lafaz tersebut tidak wujud dan ini merupakan satu bentuk pendustaan yang dilakukan atas nama Rasulullah S.A.W.

     Hadis yang seperti ini tidak datang dengan lafaz begini.Ya,hadis yang lebih kurang sama memang ada namun bukan dalam bentuk seperti ini.Ia berbunyi:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Maksudnya:

"Barangsiapa yang menyerupai/meniru sesuatu kaum maka dia adalah termasuk dalam golongan mereka".[4]

     Hadis ini bukanlah riwayat Al Bukhari dan Muslim seperti yang didakwakan.Namun ia merupakan riwayat Ahmad pada Musnad Al-Muksirin Min Al-Sahabah dalam Musnad 'Abd Allah bin 'Umar bin Al-Khattab radhialalhu ta'ala 'anhuma dan Abu Daud dalam Kitab Al-Libas Bab Fi Lubs Al-Syuhrah.

     Penyalahsandaran seperti ini boleh memberi impak yang besar.Lagilah pula apabila nama ulama hadis yang besar,Al Bukhari dan Muslim digunakan.

     Maka jelas bahawa di sini terdapat kesalahan penyandaran kepada Rasul S.A.W dan juga kesalahan dalam menyandarkan kepada para ulama yang mengeluarkan hadis itu,ini merupakan kesalahan ilmiah.

7. Dalam hal ini ia juga rupakan isu amanah dan jujur dalam menaqalkan sesuatu,terutamanya isu hadis apabila menyandarkannya pada tempat yang salah,sepatutnya seorang yang mendakwa perlu membawakan dan menaqalkan dengan benar.Amanah itu tertanggung ke atas mereka yang mengeluarkan fakta.

     Tidak boleh seseorang terus bercerita tentang setiap apa yang didengarinya,paling kurang ia boleh merujuk kepada para alim yang benar dalam bidang yang betul,atau sekurang-kurangnya orang yang mampu menerangkan sekadar yang perlu.

     Bahkan,antara sifat pendusta adalah menyampaikan setiap apa yang didengari,di dalam Al-Hadis,Nabi S.A.W ada menyebutkan:

 كَفَى بِالْمَرْءِ كَذِبًا أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ

Maksudnya:

"Cukuplah seseorang itu dikira berdusta apabila dia menceritakan setiap apa yang dia dengar".[5]

Lagikan pula hadis ini diletakkan pada bab khusus oleh Al-Imam Al-Nawawi dengan tajuk:

 النهي عن الحديث بكل ما سمع

Maksudnya:

"Larangan terhadap menceritakan semua perkara yang didengari".[6]

     Hal ini kerana sesuatu fakta memerlukan penapisan yang teliti,agar ia tidak menjadi dusta,penyelewengan dan lain-lain.Kata Al-Syeikh Muhammad bin Soleh Al-'Uthaimin:

وأما قوله (ص): "كَفَى بِالْمَرْءِ كَذِبًا أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ" فمعناه أن يحدث بكل ما سمع من غير تثبت ولهذا قيل  : بكل ما سمع 

Maksudnya:

"Dan adapun perkataan baginda:

كفى بالمرء كذبا أن يحدث بكل ما سمع

ertinya:

"cukuplah seseorang itu dikira berdusta apabila dia menceritakan setiap apa yang dia dengar".

maka maknanya adalah dia menceritakan setiap apa yang didengarinya tanpa kepastian.Disebabkan ini disebutkan:

بكل ما سمع

ertinya;

"dengan setiap apa yang dia dengar".[7]

8. Apabila anda telah mengkhususkan sesuatu riwayat,maka sememangnya ia akan lebih memudahkan bagi orang untuk mengkaji dan memeriksa semula,adakah benar bahawa apa yang anda katakan itu,memang  ia dari situ.Maka tidak perlu hairan jika ada orang yang mampu menyanggah dan menegur anda,hal ini kerana yang demikian itu boleh disemak.

9. Apabila anda menyebutkan tentang hal adakah orang yang cuba menyemak semula pakar atau tidak,saya nyatakan bahawa jika perkara tersebut dikhususkan untuk saya,maka saya bukanlah pakar,namun sekadar merujuk kepada pakar ataupun menggunakan kaedah yang boleh diterima dalam soal semakan sebegini.

10. Jika anda katakan bahawa anda juga merujuk kepada pakar,maka kerana apa perlu disalahkan?

     Sebenarnya di situ terdapat sedikit kesilapan dalam penilaian,adakah apabila ada seorang pakar memberitahu anda maka ia sudah tidak boleh disanggah apabila dibawakan hujah yang lebih kuat dan kukuh?

     Pola fikir seperti ini perlu diperbetul,barulah akan lebih terbina budaya kritis dalam berfikir.Apa yang lebih malang dan menyedihkan adalah apabila para agamawan yang sepatutnya lebih menjaga amanah,turut terlibat sama,bukan sedikit orang yang memakai cop Al-Bukhari dan Muslim lalu dilekatkan pada hadis riwayat lain.Demikian,tidak juga sedikit mereka yang menyandarkan hadis pada riwayat Bukhari dan Muslim sedangkan hadis itu langsung tidak wujud,dikritik sanad dan matan,serta banyak lagi masalah lain!

     Kita pun sangat sedih dengan gejala seperti ini,mungkin sesetengah mereka rasa bahawa ia adalah bagus untuk menarik kepercayaan orang bahawa hujahnya kuat,kerana bersandarkan hadis yang sahih kerana ia merupakan riwayat Al-Bukhari dan Muslim,namun hakikatnya,mereka itu tersilap,bahkan boleh jatuh ke tahap pendusta!Bahkan,boleh menghilangkan kepercayaan orang kepada mereka!

     Sepatutnya orang yang ditegur, tidak boleh sombong untuk menarik kembali kenyataan mereka jika mereka ternyata salah,semoga pihak yang menegur dan ditegur sentiasa dipayungi rahmat dan diberikan berkat kerana menjaga amanah dalam soal hadis.

___________________________________________________________________________________

Rujukan:

[1] Riwayat Al-Bukhari dalam Kitab Al-'Ilm,Bab Ism Man Kazaba 'Ala Al-Nabi S.A.W dan juga Muslim dalam Muqaddimahnya dengan lafaz:

لا تكذبوا علي فإنه من يكذب علي يلج النار

Maksudnya:

"Janganlah kalian berdusta ke atasku,karena sesungguhnya barangsiapa berduasta ke atasku dia akan masuk neraka."

[2] Al-Imam Al-Hafiz Ahmad bin 'Ali bin Hajar Al-'Asqalani,Fath Al-Bari,tahqiq Muhib Al-Din Al-Khatib berserta ta'liq Al-Syeikh 'Abd Al-'Aziz bin 'Abd Allah bin Baz,terbitan Maktabah Al-Salafiah,hlm 199.

[3] Surah Al-Hasyr ayat 7.

[4] Riwayat Ahmad pada Musnad Al-Muksirin Min Al-Sahabah dalam Musnad 'Abd Allah bin 'Umar bin Al-Khattab radhiallhu ta'ala 'anhuma dan Abu Daud dalam Kitab Al-Libas Bab Fi Lubs Al-Syuhrah.

[5] Riwayat Muslim dalam Muqaddimahnya.

[6] Ini merupakan suatu bab yang telah diletakkan oleh Al-Imam Al-Nawawi dalam kitabnya yang mensyarahkan Sahih Muslim,"Al-Minhaj Fi Syarh Sahih Muslim bin Al-Hajaj".

[7] Al-Syeikh Al-'Allamah Muhammad bin Soleh Al-'Uthaimin,Syarh Sahih Muslim,ta'liq Al-A'Allamah Ibn Baz dan takhrij Al-'Allamah Al-Albani,terbitan Al-Maktabah Al-Islamiah,cetakan pertama,j. 1,hlm 31.

Sunday, 25 December 2016

Manusia

Aku dan kamu bukan bidadari,
Bukan malaikat yang tak pernah alpa,
Tapi manusia yang penuh dengan potensi dosa.

Tapi ingatlah,
Semua potensi telah Allah beri
Maka tugas kita menyelaraskan potensi
Dengan semua ketentuan dan ketetapannya.

Mengeluh,menangis dan tersungkurlah!
Di hadapannya.
Kerana segala kesulitanmu,
Hanya pantas dilihat olehnya.

Beban dan ujian,
Hanya Allah kuncinya,
Berbagi dan ceritakanlah semua kepadaNya.

Semoga Allah selalu menjaga kita,
Dalam lingkar keimanan.
Seluas apapun ujian,
Seberat apapun cubaan,
Tetaplah iman yang engkau simpan.

Sejenak Bermuhasabah










Mengikhlaskan itu lebih menenangkan
Tak perlu bergelut dengan dendam atau cacian.

Merelakan setiap perkara yang dirasa itu lebih menyenangkan,
Tak perlu sesak menerpa atau gundah gulana merana.

Terjatuh,tergores dan terluka itu sakit,
Tetapi ketika senyummu yang engkau beri,
Maka biarkan hati yang menjalankan fungsi.

Mengeluarkan keimanan di dalam hati,
Menggambarkanmu sebagai seorang yang mengawal emosi.

Sebab sabar tak terbatas,
Air mata akan terus ada.
Ujian akan terus dirasa,
Maka damaikan semua dengan iman dan senyuman.

Hidup dan pandanglah dengan kuasaNya
Itu lebih mengasyikkan.



Saturday, 24 December 2016

Hadis "Tidak akan masuk neraka orang yang melihat aku"?


Soalan:

Mohon pencerahan berkenaan hadis ini:

Rasulullah saw bersabda;

"Tidak akan masuk ke neraka orang (Islam) yang telah melihat aku (Nabi Muhammad) dan tidak juga akan masuk ke neraka orang yang melihat akan orang yang telah melihat aku dan tidak akan masuk ke neraka orang yang melihat akan orang melihat aku,iaitu walaupun (sampai) kepada tujuh puluh wasitah (lapisan/keturunan).Sesungguhnya mereka itu adalah para khalifahku di dalam menyampaikan (ajaran Islam) dan asuhan Islam,selagi mereka itu sentiasa istiqamah di dalam syari'atku".

Jawapan:

Terima kasih kepada anda kerana bertanya soalan ini.Ia menunjukkan keprihatinan anda terhadap penyandaran sesuatu hadis kepada Nabi Muhammad S.A.W.Lagikan pula kita sedang berada di zaman mudahnya tersebar sesuatu berita tidak kira sama ada palsu ataupun benar.Maka sikap seperti ini amatlah dipuji.

Bagi menjawab persoalan ini maka saya rumuskan seperti berikut:

Hadis ini palsu dan tiada asal baginya.

Pencerahannya begini:-

1. Hadis ini tidak ada asal baginya.

Hal ini kerana terdapat hadis yang seumpama ini telah dikatakan tiada asal oleh Samahah Al-Mufti As-Syeikh Bin Baz (w. 1420H).Hadisnya seperti berikut:

  من رآني حرمت عليه النار 

Maksudnya:

"Barangsiapa yang melihatku maka diharamkan ke atasnya api neraka".

Kata beliau rahimahullah:

  فهذا لا أصل له، وليس بصحيح

Maksudnya:

"Maka hadis ini tidak ada asal baginya dan tidak sahih".[1]

Lafaz ini hakikatnya mempunyai makna yang sama dengan hadis yang ditanya di dalam soalan.Perbezaannya cuma pada panjang antara dua hadis ini.Namun,walaupun begitu tidak dapat dinafikan bahawa hadis tersebut tetap tiada asalnya kerana mempunyai maksud yang sama meskipun hanya pada awal matan.Mustahil bagi seorang 'Alim besar seumpama As-Syeikh Bin Baz boleh mengatakan "tiada asal" pada satu hadis tanpa memaksudkan juga semua hadis yang mempunyai maksud yang sama.

2. Hadis ini mempunyai salah satu antara ciri-ciri hadis maudhu'.

Jika dinilai berdasarkan matannya.Kita akan dapati bahawa amalannya yang begitu sedikit namun diberikan ganjaran yang begitu banyak.

Hal seperti ini telah pun diterangkan oleh Al-Hafiz Ibn Al-Qayyim (w. 751H) dalam kitabnya yang terkenal,"Al-Manar Al-Munif."[2]

Wallahu a'lam.

___________________________________________________________________________________

Rujukan:

[1] Abdul Aziz Bin Abdullah Bin Abdurrahman Bin Baz,Majmu' Fatawa Wa Maqalat Mutanawwi'ah,terbitan Darul Qasim,cetakan pertama (1420 H),j. 4,hlm. 445.

[2] Al-Imam Syamsuddin Abi 'Abd Allah bin Abi Bakr Al-Hanbali Ad-Dimasyqi,Al-Manar Al-Munif Fi As-Sahih Wa Ad-Dha'if,tahqiq Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah,terbitan Maktabah Al-Mathbu'ah Al-Islamiyah,cetakan pertama (1980 M),hlm. 51.

Monday, 19 December 2016

Pentashihan Al-Imam As-Sayuthi menurut Syeikh At-Tharifi


السؤال الأربعون: ما رأيكم تصحيحات وتحسينات الإمام السيوطي؟

الجواب: السيوطي رحمه الله من الأئمة المحققين إلا أنه متساهل في تصحيح الأخبار بكثرة الطرق، حتى وإن كانت شديدة الضعف، ومن تأمل كتبه علم ذلك منه (رحمه الله)، وقد توسع في تقوية الاحاديث بالشواهد والمتابعات، ويقوي أحاديث لم يسبقه إلى تقويتها أحد من الحفاظ المعتبرين.

Terjemahan:

Soalan ke-40:

Apakah pandangan anda dengan pentashihan serta pertahsinan oleh Al-Imam As-Sayuthi?

Jawapan:

As Sayuthi rahimahullah merupakan di antara para imam muhaqiq,cumanya beliau bermudah-mudahan dalam pentashihan sesuatu khabar di sebabkan banyak jalan periwayatan,walaupun ia sangat kuat kedhaifannya

Dan mereka yang memerhatikan buku-bukunya pasti akan mengetahui hal itu.

Dan sungguh dia telah banyak menguatkan hadis-hadis dengan syawahid dan mutaba'ah dan dia juga menguatkan hadis-hadis yang tidak pernah dikuatkan oleh seorang pun daripada para huffaz yang muktabar."

(Jawapan oleh Syeikh Abdul Aziz bin Marzuq At-Tharifi)

Terjemahan oleh : A.N.A

Sumber: http://www.saaid.net/leqa/6.htm

Sunday, 18 December 2016

Pandangan Syeikh At-Tharifi berkenaan kisah Ali tidur di katil Rasulullah ketika hijrah



السؤال الخامس عشر: بلغنا عنكم تضعيف حديث مبيت علي في فراش النبي عند الهجرة؟

الجواب: حديث مبيت علي على فراش النبي عند هجرته لا يصح، فقد أخرجه عبدالرزاق في مصنفه وعنه أحمد في المسند وابن جرير الطبري والطبراني في معجمه الكبير وغيرهم من حديث عثمان الجزري عن مقسم مولى ابن عباس عن ابن عباس، وفيه نسج العنكبوت بيتاً على الغار. وفيه عثمان الجزري قال فيه أحمد: روى أحاديث مناكير زعموا أنه ذهب كتابه. وقال ابن ابي حاتم عن أبيه: لا أعلم روى عنه غير معمر والنعمان، ومال إلى تحسينه الحافظ ابن كثير وابن حجر!.

Terjemahannya:

Soalan Ke-15:

Telah sampai kepada kami berkenaan pendhaifan yang anda lakukan ke atas hadis tidurnya Ali di katil Nabi ketika hijrah?

Jawapan:

Hadis tidurnya Ali di katil Nabi ketika hijrah adalah tidak sahih,ia telah diriwayatkan oleh Abdul Razaq dalam "Musannaf" nya,juga oleh Imam Ahmad dalam "Al Musnad" ,Ibnu Jarir At Thabari,At Thabrani dalam "Mu'jam Al Kabir" nya dan selain mereka daripada hadis Uthman Al Jazari daripada Miqsam Maula Ibnu Abbas daripada Ibnu Abbas.Dalam hadis tersebut ada kisah labah-labah membuat sarang di pintu gua.

Pada hadis tersebut ada Uthman Al Jazari.

Imam Ahmad berkata terhadapnya:

"Dia meriwayatkan hadith-hadith yang munkar,mereka (para ulama hadis -pen) menyangka mungkin kerana kitabnya hilang."

Ibnu Abi Hatim berkata daripada Ayahnya:

"Aku tidak mengetahui dia meriwayatkan selain daripada Ma'mar dan An Nu'man."

Dan telah cenderung untuk mengatakan kisah ini hasan ialah Ibnu Kathir dan Ibnu Hajar."

(Jawapan oleh Syeikh Abdul Aziz bin Marzuq At-Tharifi)

Terjemahan oleh : A.N.A

Sumber: http://www.saaid.net/leqa/6.ht

Tuesday, 12 April 2016

Paluan Buat Ustaz Abu Syafiq...

Tulisan asal Ustaz Abu Syafiq:

Ustaz Abu Syafiq

9 hrs ·

TEGURAN PERTAMA ABU SYAFIQ KEATAS DR ROZAIMI

1- Pertamanya saya mohon ribuan kemaafan seandainya tulisan ringkas teguran saya ini dianggap memperlekehkan ilmu Saudara Rozaimi Ramle. Terus terang saya katakana bahawa saya tidak mengenali secara peribadi dan tidak pernah bersemuka dengan insan bergelar Rozaimi Ramle ini kecuali hanya baru-baru ini sahaja saya mendapat tahu satu diskusi diadakan.
Semalam saya diberikan link video Youtube menyatakan beberapa hari lepas diadakan Diskusi berkaitan Bid’ah antara beliau dan seorang ustaz bergelar Ustaz Engku Ahmad Fadzil yang juga saya belum mengenalinya.
Hati kecil ini teringin mengenali para ilmuan untuk bersama berdiskusi berbincang demi maslahah ummah bukan berdebat atau bergaduh hujjah.
Saya sendiri tidak mendapat maklumat berkaitan diskusi tersebut kerana seandainya saya tahu awal pastinya saya akan hadir sebagai pemerhati bagi menilai segala isi.
Setakat ini saya hanya sempat mendengar video rumusan terakhir sahaja dari ustaz Rozaimi berkaitan Bid’ah yang dalam 6 minit itu. Insya Allah selainnya saya akan dengar kemudian jika saya ada masa dan berikan penilaian saya insya Allah.

2- Dalam video rumusan Dr Rozaimi 6 minit tersebut beliau ada menyebut lbh kurang begini:
“Orang yang menghukum Qunut Subuh itu sebagai Bid’ah adalah mengikut pandangan Sahabat Nabi bernama Abu Malik Al-Ashja’ie kerana Abu Malik yang merupakan seorang Sahabat Nabi itu pernah menghukum Bid’ahnya Qunut Subuh ini”.

Saya mengatakan:
- Abu Malik Al-Ashja’ie tersebut BUKANlah seorang sahabat Nabi Muhammad seperti yang didakwa oleh Saudara Rozaimi. Nama sebenarnya adalah Sa’ad dan gelarannya adalah Abu Malik Al-Ashja’ie atau nama penuhnya adalah Sa’ad Bin Thoriq Bin Ashyam. Beliau merupakan seorang Tabi’in dan bukan seorang Sahabat. Rujuk At-Tarikh Al-Kabir, Tahzib, Al-Jarh.

Malangnya Saudara Rozaimi mendakwa Abu Malik Al-Ashja’ie iaitu Sa’ad tersebut adalah Sahabat Nabi yang menghukum Qunut Subuh itu sebagai Bid’ah. Ini tidak benar...
Sedangkan Abu Malik Ashja’ie itu merupakan Tabi’in dan anak kepada sahabat Nabi.

Ini menunjukkan bahawa Saudara Rozaimi tidak mahir dalam ilmu hadith jarh wa ta’dil sehingga melakukan kesalahan dalam hal perawi-perawi ini.
Saya memohon agar Dr Rozaimi memperbetulkan kesilapan dan kesalahan yang tidak kecil ini kerana terdapat perbezaan yang ketara antara Tabi’in dengan Sahabat.

- Benarkah Sahabat Nabi bernama Thoriq Bin Ashyam itu menghukum Qunut Subuh sebagai Bid’ah sesat?

Ada peristiwa yang mana anaknya Abu Malik Al- Ashja’ie meriwayatkan bahawa dia pernah bertanya kepada ayahnya itu di Kufah tentang adakah Nabi Muhammad melakukan Qunut? Maka sahabat Nabi itu menjawab; "Wahai anakku ia adalah Muhdath iaitu perkara baru".

Tiada riwayat yg mengatakan beliau menghukum Qunut Subuh itu Bid’ah Dholalah sesat masuk neraka seperti yg biasa dilakukan oleh beberapa golongan bergelar Wahhabi kini.

Lagipun Al-‘Uqailiy juga pernah menyatakan dengan nada kritikan keatas Abu Malik Ashja’ie pada periwayatannya berkaitan Qunut (Siyar A’lam Nubala).

Bahkan banyak riwayat lain yang mengsabitkan Nabi Muhammad melakukan Qunut Subuh dari ramai kalangan Para Sahabat yang lebih masyhur lagi alim dan sering bersama dengan baginda Nabi antaranya Anas bin Malik, Saidina Al-Hasan, Saidina Abu Hurairah, Saidina Ibnu ‘Abbas dan ramai lagi.

Seandainya benar seorang sahaja sahabat Nabi tadi (Thoriq Bin Ashyam) menafikan Qunut Subuh…Bagaimana kita mahu meninggalkan puluhan kata2 Sahabat Nabi yg masyhur menyebut Nabi Muhammad melakukan Qunut Subuh tiba2 kita hanya mahu mengambil kata2 seorang sahaja sahabat Nabi yg diriwayatkan menafikan Qunut Subuh...
kemudian kita nak hukum ia Bid’ah sesat??!

Bahkan tidak didapati dalam mana2 riwayat bahawa Abu Malik Al-Ashja’ie itu menghukum Qunut Subuh sebagai Bid’ah sesat. Dia hanya dikatakan meriwayatkannya sahaja dari bapanya (Thoriq) yang mengatakan ia Muhdath dan Nabi tak buat Qunut Subuh.

Perkara ini telah dijawab oleh Ulama Hadith antaranya Imam Al-Baihaqi ada menyebut bahawa Thoriq Bin Ashyam hanya mengetahui atau menghafal apa yang dia nampak sahaja namun ramai lagi Para Sahabat yang lihat Nampak bahawa Nabi Muhammad melakukan Qunut Subuh. Itu dari segi ilmu hadith.

Manakala dari segi Ilmu Usul Fiqh kaedah Al-Musbit Muqaddamun ‘Alan Nafi digunapakai oleh ulama dalam hal ini iaitu Mengsabitkan Sesuatu Adalah Didahulukan/dipilih Berbanding Penafian.
Ini Disebut oleh ramai ulama termasuk At-Tibiy. (mengsabitkan Nabi buat Qunut Subuh adalah diguna pakai berbanding pandangan yang menafikannya).

3- Di akhir ini saya meminta semua agar tak perlulah kita nak susah2 hukum Qunut Subuh tu Bid’ah sesat masuk neraka. Berlapang dada dan ikutkan jumhur sahabat yang meriwayatkan pasal Qunut Subuh ini.
Benda ni benda lama.. diskas sampai kiamat pun dok ulang hok tu sahaja x habis2 bahkan kesilapan2 yg kita ada lebih layak untuk kita perbetulkan.

Ramai sahabat yang bertanya kepada saya adakah Ustaz sudi untuk berdiskusi dengan Dr Rozaimi.
Saya jawab...setelah melihat kesalahan2nya dalam hal yg remeh2 begitu saya bimbang kelak saya ‘terr Tajrihkan atau meng’aibkan beliau dihadapan khalayak ramai. Lebih baik biarkan dan perbaiki diri serta betulkan kesalahan kita semua adalah lebih mulia. Tidak perlu menunjukkan diri hebat jika perkara asas akidah sahaja kita tak mantap inikan pula ilmu2 hadith sesimple itu kita banyak buat kesilapan.

Wassalam.
– Maafkan Hamba Al-Faqir IlaLLAH Abu Syafiq Al-Asy’airy. 0192713781

....................
* Video penuh boleh didapati di laman Youtube. Saya meletakkan sebahagian dari video tersebut disini adalah untuk fokus kepada isu yg saya nak tegur dan tidak mengedit atau mengubah apa yang asal.

-------------------------------------------------------------

Paluan:

     Ada seorang ustaz yang cuba menjawab hujah Dr. Rozaimi,tidaklah salah menulis jawab balas kerana Dr. Rozaimi hanya manusia biasa,boleh benar boleh salah,namun jika dibaca tulisannya,ia tidaklah begitu bagus dan tepat dengan neraca ilmiah.Jelas pada tulisan itu nampak peliknya si Abu Syafiq pada pemahaman hadis,riwayat serta fiqhnya.Tulisan ini bukan bertujuan untuk taksub kepada Dr Rozaimi,kerana beliau bukan Nabi yang memang tidak pernah salah dalam memberikan pendapat.Tetapi tulisan ini ditulis bagi menjawab tulisan Abu Syafiq yang sangat rambang dalam mengistibatkan hukum,namun menyangka orang lain yang salah.

1.Dr. Rozaimi tersilap sebut tentang Abu Malik Al Asy Ja'ie.

     Menurut Ustaz Abu Syafiq,Dr Rozaimi telah tersilap sebut tentang Abu Malik Al Asyja'ie.Pada kami,mungkin Dr. Rozaimi tersalah sebut kerana mengejar masa ataupun sebagainya,itu memang hal biasa berlaku lebih-lebih pula ketika dalam suasana yang sangat menekan,memang banyak hal boleh tersilap.

     Memang benar ada perbezaan di kalangan sahabat dan tabi'in.Namun dalam masalah ini jangan sengaja difokuskan kepada benda lain untuk konon-kononnya supaya orang terus menolak hujah asal Dr. Rozaimi kerana kesilapan tersebut.Kerana pada hakikatnya,berita tersebut tetap datang daripada sahabat Nabi,iaitu ayah kepada Abu Malik Al Asy Ja'ie sendiri yang dikenali sebagai Abdullah bin Abi Aufa.

     Kesalahan sedikit itu bukanlah menunjukkan beliau tidak pakar dalam masalah jarh wa ta'dil kerana ia jelas bahawa beliau tidak sengaja kerana dalam kalam beliau yang lain,beliau sangat berhati-hati orangnya.Namun ia sengaja dibesar-besarkan supaya fokus utama menjadi kabur dan difokuskan kepada perkara lain,lalu mungkin orang awam akan terpedaya dengan kalam Abu Syafiq dan "mungkin" menyangka bahawa ia tidak datang daripada sahabat.Saya sudah sebut,"mungkin".Sebab lebih nampak ke arah itu daripada gayanya menulis.

     Satu teguran juga untuk Abu Syafiq,apabila menyebut nama-nama kitab rijal atau tarikh,sebutlah sepenuhnya.Kalau hendak sebut yang ringkas pun biarlah perkataan yang digunakan itu ringkas namun masyhur di sisi para ilmuwan.

Bila menyebut Tarikh Al Kabir,benar dah,nampak macam memang orang yang mengkaji ilmu rijal...tetapi apabila anda menyebut nama "Tahzib" dan "Al Jarh" sahaja nampak macam seperti tidak berapa bagus pula kerana tidak jelas tahzib yang mana...tidak jelas juga al jarh yang mana,tidak mengapa,ini bukan fokus utama kita,cuma kerana si Abu Syafiq suka sentuh perkara yang remeh selalunya,biarlah kita sentuh urusan beliau yang remeh pula dengan harapan dia sedar.

2.Tentang riwayat Abu Malik Al Asy Ja'ie.

     Hadith tersebut:

عَنْ أَبِي مَالِكٍ الْأَشْجَعِيِّ قَالَ قُلْتُ لِأَبِي يَا أَبَةِ إِنَّكَ قَدْ صَلَّيْتَ خَلْفَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ بْنِ أَبِي طَالِبٍ هَا هُنَا بِالْكُوفَةِ نَحْوًا مِنْ خَمْسِ سِنِينَ أَكَانُوا يَقْنُتُونَ قَالَ أَيْ بُنَيَّ مُحْدَثٌ


قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ وَالْعَمَلُ عَلَيْهِ عِنْدَ أَكْثَرِ أَهْلِ الْعِلْمِ و قَالَ سُفْيَانُ الثَّوْرِيُّ إِنْ قَنَتَ فِي الْفَجْرِ فَحَسَنٌ وَإِنْ لَمْ يَقْنُتْ فَحَسَنٌ وَاخْتَارَ أَنْ لَا يَقْنُتَ وَلَمْ يَرَ ابْنُ الْمُبَارَكِ الْقُنُوتَ فِي الْفَجْرِ قَالَ أَبُو عِيسَى وَأَبُو مَالِكٍ الْأَشْجَعِيُّ اسْمُهُ سَعْدُ بْنُ طَارِقِ بْنِ أَشْيَمَ حَدَّثَنَا صَالِحُ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ حَدَّثَنَا أَبُو عَوَانَةَ عَنْ أَبِي مَالِكٍ الْأَشْجَعِيِّ بِهَذَا الْإِسْنَادِ نَحْوَهُ بِمَعْنَاهُ

Maksudnya:

"Telah menceritakan kepada kami Ahmad bin Mani' berkata; telah menceritakan kepada kami Yazid bin Harun dari Abu Qilabah Al Asyja'i ia berkata;

 "Aku pernah bertanya kepada ayahku, "Wahai ayah, sesungguhnya engkau pernah shalat di belakang Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, Abu Bakar, Umar, Utsman dan Ali di Kufah ini sekitar selama lima tahun, maka apakah mereka membaca qunut?" ia menjawab, "Wahai anakku, itu adalah perkara baru."

Abu Isa (Tirmizi) berkata; "Hadits ini Hasan shahih. Dan hadits ini diamalkan oleh kebanyakan ahli ilmu.Sufyan Ats Tsauri berkata; "Jika seseorang melakukan qunut dalam shalat subuh maka itu baik, jika tidak maka itu juga baik." Dan Sufyan Ats Tsauri memilih untuk tidak melakukan qunut. Demikian juga Ibnu Al Mubarak, ia tidak melakukan qunut dalam shalat subuh." Abu Isa berkata; "Abu Malik Al Asyja'i namanya adalah Sa'd bin Thariq bin Asyyam. Telah menceritakan kepada kami Shalih bin Abdullah berkata; telah menceritakan kepada kami Abu Awanah dari Abu Malik Al Asyja'i seperti makna hadits tersebut dengan sanad ini."

     Ia adalah riwayat yang sahih dan disahihkan oleh Al Hafiz Ibnu Hajar Al-'Asqalani sendiri di dalam "Nata'ij Al Afkar",ia ada datang dalam riwayat At Tirmizi dan katanya Hasan Sahih,An Nasaie,Ahmad,At Tabrani di dalam Al Ausath dan lain-lain.

     Ia adalah sahih dan berkenaan Abdullah bin Abi Aufa solat di belakang Nabi dan para khulafa' Ar Rasyidin namun kesemuanya tidak melakukan qunut subuh.Maka kerana itu ketika ditanya oleh anaknya,Abu Malik Al Asyja'ie maka jawab Abdullah bin Abi Aufa bahawa ia "muhdath" yakni benda baru kerana tidak pernah dilakukan oleh Nabi dan para Khulafa' Rasyidin."Muhdath" yang beliau maksudkan adalah dalam masalah agama,kerana mereka lebih faham erti "kullu muhdathatin bidaah" berbanding anda wahai Abu Syafiq.Bukalah kitab-kitab syarah hadis seperti Tuhfah Al Ahwazi anda akan jumpa ertinya.

     Bahkan di sana,pengarang Tuhfah Al Ahwazi sendiri membawakan riwayat Nasa'i ketika mensyarahkan hadis ini seperti berikut:

ﻭﻓﻲ ﺭﻭﺍﻳﺔ ﺍﻟﻨﺴﺎﺋﻲ
ﺻﻠﻴﺖ ﺧﻠﻒ ﺭﺳﻮﻝ ﺍﻟﻠﻪ ﺻﻠﻰ ﺍﻟﻠﻪ ﻋﻠﻴﻪ ﻭﺳﻠﻢ ﻓﻠﻢ ﻳﻘﻨﺖ ، ﻭﺻﻠﻴﺖ ﺧﻠﻒ ﺃﺑﻲ ﺑﻜﺮ ﻓﻠﻢ ﻳﻘﻨﺖ ، ﻭﺻﻠﻴﺖ ﺧﻠﻒ ﻋﻤﺮ ﻓﻠﻢ ﻳﻘﻨﺖ ، ﻭﺻﻠﻴﺖ ﺧﻠﻒ ﻋﺜﻤﺎﻥ ﻓﻠﻢ ﻳﻘﻨﺖ ، ﻭﺻﻠﻴﺖ ﺧﻠﻒ ﻋﻠﻲ ﻓﻠﻢ ﻳﻘﻨﺖ ، ﺛﻢ ﻗﺎﻝ ﻳﺎ ﺑﻨﻲ ﺇﻧﻬﺎ ﺑﺪﻋﺔ
Maksudnya:

"Dan pada riwayat Nasa'i:

Aku telah bersolat di belakang Nabi dan Baginda tidak berqunut (subuh),aku juga telah solat di belakang Abu Bakr namun beliau tidak berqunut,aku juga telah solat di belakang Umar namun beliau juga tidak berqunut,aku juga telah solat di belakang Uthman namun beliau tidak berqunut.Dan aku juga telah bersolat di belaakang Ali namun beliau tidak berqunut".

Kemudian dia berkata kepadaku "wahai anakku,sesungguhnya ia bid'ah."

     Bahkan,disebutkan sendiri oleh Tuan Kitab:

والحديث يدل على عدم مشروعية القنوت وقد ذهب إلى ذلك أكثر أهل العلم كما حكاه المصنف

Maksudnya:

"Dan hadis ini menunjukkan bahawa  tiada disyariatkan Qunut yang sedemikian itu dan begitulah kebanyakan yang dilakukan oleh ahli ilmu seperti yang direkodkan oleh penulis (Imam Tirmizi).

     Mungkin orang katakan Nabi melakukan qunut subuh tetapi ketika itu mereka tidak hadir maka kerana itu mereka tidak tahu lalu tidak berqunut.

     Ada logiknya namun mustahil mereka langsung tidak tahu hal itu kerana mereka itu imam,dan jika mereka kurang,para makmum di belakang boleh menegur mereka dan memperingatkan mereka,namun tidak pernah ada satu riwayat sahih mahupun hasan dalam masalah ini yang boleh dihujahkan menyebut bahawa para khulafa rasyidin itu melakukan qunut subuh,saya ingatkan,bawakan paling kurang satu sahaja riwayat yang boleh dijadikan hujah dalam masalah ini.

     Bahkan kerana riwayat-riwayat lain yang menyebutkan bahawa sahabat lain lakukan itu lebih kepada erti qunut nazilah bukannya qunut seperti yang biasa kita lakukan.

     Adapun seperti qunut yang kita lakukan pada riwayatnya ada masalah,seperti tentang "Rasulullah berqunut subuh sampai baginda meninggal dunia".(Dikeluarkan di dalam Al mukhatarah,Syarhus sunnah oleh Al Baghawi dan lain-lain)

     Ada sedikit masalah pada hadis ini kerana ia datang daripada riwayat yang dalamnya terdapat Abu Ja'far Ar Razi.Walaupun ia disahihkan oleh Muhammad bin 'Ali Al Balkhy dan Al Hakim seperti yang terdapat di dalam Khulasah Al Badrul Munir dan dipersetujui pula oleh Imam Al Baihaqi.

     Tetapi ia dikritik oleh Ibnu Turkumani dalam Al Jauhar An Naqi berkenaan terdapat di dalam sanad ini Abu 'Isa bin Mahan Ar Razi yang mana kata Imam Ahmad bin Hanbal dan An Nasa'i bahawa dia ini "laisa bil qowi".Dan Abu Zur'ah Ar Razi (jaguh besar ilmu rijal) mengatakan bahawa dia ini "yahimmu kathiran".

     Dan banyak lagi kritikan ulama lain terhadapnya,ia disimpulkan oleh Ibnu Hajar Al Asqalani di dalam taqrib tahzib seperti berikut:

     "shoduqun sayi'ul hifzh khususon 'an al mughirah".

     Bahkan hadis ini bertentangan dengan hadis yang sahih yang dikeluarkan oleh ibnu khuzaimah yang maksudnya:

     "sesungguhnya Nabi s.a.w tidak pernah melakukan qunut kecuali bila baginda berdoa (kebaikan) untuk sesuatu kaum atau ke atas sesuatu qaum".

3.Riwayat lain tentang qunut subuh yang thabit?

     Di sini sudah jelas tentang keilmuwan Abu Syafiq.Dengan yakinnya beliau katakan bahawa:

"bahkan banyak riwayat lain yang mengsabitkan Nabi Muhammad melakukan Qunut subuh dari ramai kalangan para sahabat yang lebih masyhur lagi lebih alim dan sering bersama dengan baginda Nabi antaranya Anas bin Malik,Saidina Al Hasan,Saidina Abu Hurairah,Saidina Ibnu 'Abbas dan ramai lagi.

Seandainya benar seorang sahaja Nabi tadi (Thoriq bin Ashyam) menafikan Qunut Subuh...Bagaimana kita mahu meninggalkan puluhan kata2 Sahabat Nabi yang masyhur menyebut Nabi Muhammad melakukan Qunut Subuh tiba2 kita hanya mahu mengambil kata2 seorang sahaja sahabat Nabi yabg diriwayatkan menafikan Qunut Subuh...
kemudian kita nak hukum ia Bid'ah sesat??!"

-jawapannya:

1.Kalau benar memang banyak lagi riwayat yang thabit itu,kita perlu tengok konteks fiqhnya.Adakah ia qunut fajr mutlak ataupun tidak.Apa yang kami yakini dan pegang dengan menurut pendapat para ulama,apa yang thabit itu ialah qunut nazilah dan qunut witir.Bukanlah qunut fajr mutlak.Kerana tidak thabit langsung dalam hal ini seperti pendapat para ulama yang kami pegangi.Hal ini senada dengan mazhab Hanbali.

     Dan kami mohon kepada Abu Syafiq agar lebih berhati-hati dalam soal riwayat hadis,sebelum menthabitkan hadis tersebut kajilah semula sanadnya dengan mengikut kaedah para "ulama" bukan sekadat ikut "ular dalam semak".

     Antara contoh kajian sanad secara ringkas adalah seperti yang telah kami sebutkan di atas tadi,tentang sanad yang di dalamnya terdapat Abu Ja'far Ar Razi.Itu baru sedikit,bahkan riwayat-riwayat lain juga ada masalah.Nak dijelaskan di sini akan menyebabkan artikel tersangatlah panjang jadinya.

Oleh itu,belajarlah Ilmu rijal paling kurang di samping ilmu-ilmu lainnya.

2.Tentang yang katakan qunut subuh itu bidaah bukanlah kami orang yang pertama menyebutkannya.Tetapi telah ada orang sebelum kami yang sebutkannya dahulu seperti Imam Hanafi dan lain-lain.Bahkan beliau mengkhususkannya pada solat witir bukanlah solat pada solat subuh.

 Kata Al Qarafi di dalam Adza kirah:

"Qunut subuh menurut kami (mazhab maliki) dan menurut syafii disyariatkan berbeza dengan Ibnu Hanbal dan pada solat subuh berbeza dengan Abu Hanifah yang mengkhususkan qunut pada solat witir".

     Apakah salah kami mengikut pendapat ini?ataupun anda lebih pandai,adapun kami tidak memaksa orang mengikut pandangan kami pun,cuma anda yang selalu salah faham.Kami cuma nyatakan dan kami berlapang dada.

     Contoh mudah,anda tidak kata sesuatu itu bidaah maka anda kata kepada kami supaya berlapang dada.Maka kami berlapang dada dan memilih pendapat mengatakan sesuatu itu bidaah tanpa kami paksa supaya mengikut kami,kemudian anda suruh kami kata ia bukan bidaah pula...manakah berlapang dadanya?anda nak pilih pendapat itu pilihlah,kami nak pilih pendapat ini dan kami juga mengikut para ulama.Jangan terlalu tidak cerdik dalam soal berlapang dada sekalipun...

4. Al Baihaqi dan pendapatnya itu.

     Pertama,kami minta rujukan anda tentang qaul ini.

     Kedua jika benar itu pendapat Imam Baihaqi,maka kami lebih bersetuju dengan pendapat ulama lain kerana pada kami jelas bahawa tidak riwayat sahih (sekadar penilaian yang kami lakukan dengan mengikut pendapat para ulama,bukan reka sendiri) yang menunjukkan adanya qunut subuh secara mutlak.Adapun yang maujud ialah qunut nazilah dan juga qunut witir.

     Namun ini tidak bermakna kami benci Imam Baihaqi,tetapi kerana kami mengikut ulama lain juga dalam menilai masalah ini.

5.Kesilapan Abu Syafiq dengan kaedah usul fiqh tersebut.

     Jikalah kaedah ini diguna pakai dalam masalah ini,maka anda sudah menyalahkan orang berbeza pendapat dengan anda yang mempercayai bahawa qunut subuh itu tidak thabit.Anda telah juga menyalahkan Imam Abu Hanifah yang menyatakan bahawa qunut subuh itu bidaah.Inilah kalam Imam Abu Hanifah (bukan imam abu syafiq) seperti yang dinaqalkan oleh Syeikh Zadah di dalam "Majma' Al Anhur Syarah Multaqa Al Abhur".

     Maka manakah sikap lapang dadanya?wahai mujtahid...

 (yang terakhir)

     Ingatlah,jangan mudah menyangka orang lain tidak berlapang dada sedangkan diri sendiri yang tidak berlapang dada.

     Ruang dakwah kita besar,bukan sekadar isu "Allah wujud bila makan" sahaja,bukan itu sahaja aqidah islam yang ada.

Fikirlah dan insaflah...

     Dalam isu qunut subuh ini pun,ia hanya khilaf muktabar dan pada furu' fiqh.Anda nak buat silakan,tapi jangan hukum sesat sesiapa yang tidak lakukannya.

     Kami lebih cenderung kepada pendapat ulama yang lain dalam masalah ini.Namun kami juga tidak menyesatkan mereka yang berqunut subuh.

wallahu a'lam...


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...